Berjenaka kecederaan Boakye, fans Selangor pesan jangan lupa kisah Farizal, Safawi


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Boakye tidak sedarkan diri selepas pelanggaran tersebut. — Facebook/JohorMostWantedisback

BUKAN simpati tapi dijadikan bahan jenaka pula keadaan yang menimpa penyerang import Selangor FC, Richmond Boakye dalam beberapa laman penyokong Johor Darul Takzim (JDT).

Aks sengit antara JDT dan Selangor FC yang menyaksikan Harimau Selatan menang 2-0 di laman sendiri itu diselit dengan situasi cemas menimpa penyerang import Gergasi Merah, Richmond Boakye.

Penyerang Ghana itu tidak sedarkan diri selepas berlaku pelanggaran dengan rakan sepasukan Samuel Somerville pada minit kesembilan sehingga kedua-dua pasukan perubatan berlari ke padang memeriksa keadaannya.

medic

Pasukan perubatan Selangor dan JDT memeriksa kecederaan Boakye.

Selepas Boakye memberi maklum balas positif dan kembali sedar, bekas pemain Juventus itu terus dipapah keluar dari padang dan digantikan dengan Quentin Cheng pada minit ke-17.

Keadaan yang menimpa penyerang berusia 30 tahun itu sepatutnya didoakan untuk lekas sembuh tapi ada segelintir penyokong Harimau Selatan bergurau tentang kecederaa Boakye di media sosial.

“Selalu kita dengar orang microsleep semasa memandukan? Yang ini kes pelik sedikit, microsleep semasa main bola. Kah kah kah kah kah,” kata laman penyokong yang menggunakan akaun, Johor Most Wanted is back.

Hantaran kontroversi laman tersebut menerima komen yang tidak bersetuju oleh penyokong dari kedua-dua pasukan kerana adalah keterlaluan untuk menjadikan kesihatan orang lain sebagai bahan jenaka.

Laman penyokong Selangor FC, Red Giants pula sempat mengambil contoh bagaimana penjaga gol JDT, Farizal Marlias mengalami kecederaan di kepala sehingga dikejarkan ke hospital namun masih didoakan oleh penyokong dari semua pasukan.

farizal dulu

Farizal ketika diusung keluar selepas pelanggaran dengan rakan sepasukannya. — Facebook/JDT

Farizal ditimpa kecederaan selepas berlaga dengan rakan sepasukan, Shane Lowry ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada musim 2022.

“Kecederaan yang macam ini boleh jadi bahan jenaka mereka. Lupakah Farizal Marlias pernah alami situasi sama?? Satu malaysia doakan agar Farizal segera sembuh.

“Lupakah, Safawi pernah mengalami kecederaan yang juga agak serius.. Satu Malaysia juga doakan kesembuhan buat Safawi.. Tapi, apa yang berlaku bila perkara dalam gambar ini berlaku??.. Bahan jenaka yang menjadi modal mereka.. Apa jenis manusia mereka ini,” tulis laman penyokong itu.

Pada Ahad, Selangor FC mengeluarkan kenyataan bahawa Boakye sudah menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut selepas disahkan mengalami kecederaan kepala, cerebral concussion.

"Mengikut prosedur perubatan bagi kecederaan ini, pemain yang terlibat hendaklah dikeluarkan dari perlawanan serta-merta bagi pemantauan, pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Selepas diteliti dan melalui prosedur yang telah ditetapkan, dia kini telah pulih daripada simptom dan tanda-tanda ‘cerebral concussion’ serta pemeriksaan lanjut menunjukkan tiada kecederaan lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram