SEJAK meninggalkan Sabah FC pada pertengahan Julai lalu, kerjaya kapten The Rhinos, Baddrol Bakhtiar dalam bidang politik masih diikuti perkembangannya oleh penyokong bola sepak tanah air.
Baddrol yang memilih meninggalkan dunia bola sepak kini terjun ke dalam dunia politik dan sedang hangat bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).
Bekas kapten Sang Kenari itu akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang merupakan anak kepada penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun sebelum ini, Tan Sri Johari Abdul.
Keputusan bekas pemain kebangsaan itu ke bidang politik bukan hanya disambut baik oleh penyokongnya, malah bekas rakan sepasukannya di Sabah FC dan Harimau Malaya turut memberi kata-kata semangat untuk ikon bola sepak tanah air itu.
Menerusi tinjauan Majoriti di media sosial, bekas penyerang kebangsaan dan rakan sepasukan Baddrol di Kedah pada musim 2018-202, Zaquan Adha Abdul Razak sempat memuat naik ucapan selamat maju jaya kepada calon DUN Gurun itu.
“Selamat maju jaya Baddrol Bakhtiar. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi laman Insta Story.
Tangkap layar Insta Story Khairul Fahmi.
Turut tidak melepaskan peluang memberi ucapan kepada Baddrol ialah penjaga gol Sabah FC yang menyertai The Rhinos pada musim 2022 bersama pemain tengah itu, Khairul Fahmi Che Mat.
“Semoga berjaya kapten Baddrol Bakhtiar. Harap dapat menjadi kapten untuk orang-orang Gurun pula selepas ini,” katanya yang dimuat naik pada laman Insta Story.
Baddrol yang lengkap berpakaian baju Melayu berwarna hijau termasuk bersamping dan bersongkok tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Lestari Guar Chempedak, Gurun, Kedah pada pukul 8.50 pagi, Sabtu.
Dia tiba bersama dua lagi calon PN bagi DUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad dan DUN Sungai Limau, Mohd. Azam Abd Samat diiringi lebih 1,000 penyokong menuju ke dewan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram