PENGENDALI baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, Nenad Bacina difahamkan akan tiba dalam masa dua minggu lagi namun bek tengah City Boys, Giancarlo Gallifuoco menggesa rakan sepasukannya untuk bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan pada Sabtu.
Tonggak import dari Australia itu berkata, barisan pemain akan bermain seolah-olah Bacina sudah berada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk menilai dan menonton mereka.
Oleh itu, para pemain skuad Warga Kota perlu bermain bagi menarik perhatian bekas pengendali Johor Darul Takzim (JDT) II tersebut untuk mengekalkan tempat mereka dalam kesebelasan utama.
‘’Saya telah memberitahu pemain untuk bermain seolah-olah Nenad sudah berada di sini menonton perlawanan, dan kami mesti mendapat kemenangan yang mengagumkan. Perkara ini penting terutamanya untuk pemain yang tidak pernah berlatih di bawahnya sebelum ini.
“Anda perlu berjuang untuk mendapatkan tempat anda. Kami perlu bermain perlawanan ini (menentang Kelantan) seperti kami sedang hadiri uji bakat,” katanya.
Pengendali dari Croatia itu merupakan penolong jurulatih Warga Kota pada 2021 dan 2022 dan difahamkan akan tiba menyertai pasukan itu sebagai ketua jurulatih pada awal Ogos.
Bacina dilantik menjadi pengendali KL City menggantikan Bojan. — Facebook/KLCity
Seorang lagi jurulatih dari Croatia, Miroslav Kuljanac akan menjadi jurulatih sementara untuk perlawanan menentang The Red Warrios (TRW) pada Sabtu.
Kuljanac juga akan mengendalikan perlawanan pusingan 16 pusingan pertama Piala Malaysia menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town pada 3 Ogos.
Bacina dilantik selepas Bojan Hodak meninggalkan kelab itu baru-baru ini untuk menyertai pasukan Indonesia, Persib Bandung.
Bojan membawa KL City ke tiga pusingan akhir berbeza dalam tempoh tiga tahun lepas, yang mana mereka memenangi Piala Malaysia pada 2021 dan menjadi naib juara Piala AFC (2022) dan Piala FA (2023).
Kekalahan 0-2 kepada JDT dalam perlawanan akhir Piala FA pada hujung minggu lalu sukar untuk ditelan dengan selepas itu mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Bojan.
Gallifuoco berkata, skuad City Boys perlu kekal kuat untuk memulakan lembaran baharu.
“Kami sedih Bojan telah pergi dan dia telah meninggalkan kekosongan yang besar. Dia seorang jurulatih yang hebat dan saya banyak belajar di bawahnya. Tetapi kita juga tahu betapa bagusnya Nenad sebagai penolong jurulatih dan saya tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu di bawahnya.
“Barisan pemain kecewa selepas kekalahan pada final Piala FA tapi kami sudah mengadakan sesi team bonding untuk menaikkan semangat mereka. Kami menentang JDT di final itu dan saya rasa ia adalah persembahan terbaik kami menentang mereka musim ini,” katanya.
Kuala Lumpur kini berada di tangga ketujuh liga dengan 25 mata manakala Kelantan di tangga terbawah dengan lima mata. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram