PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe akui bahawa hukuman penggantungan yang terpaksa diterima penyerang sayap Gergasi Merah, Faisal Halim memberi kesukaran kepada pasukannya dalam melakukan persediaan pada aksi Liga Super seterusnya.
Keperitan dan rasa kecewa mungkin dirasai pemain kelahiran Pulau Pinang itu ketika ini namun Cheng Hoe menegaskan Faisal tidak bersendiri malah mendapat sokongan penuh daripadanya dan pasukan Gergasi Merah.
'Kami di belakang Faisal Halim. Kami akan sentiasa memberikan sokongan kepada Faisal dan dia tidak dapat diturunkan pasukan untuk beberapa perlawanan akan datang," kata Cheng Hoe.
Pada Rabu, bekas pemain Terengganu itu dikenakan hukuman penggantungan sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Faisal didapati melanggar artikel 61 kod tatatertib FAM dan artikel 82 statut FAM menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.
Khuzaimi juga terpaksa diketepikan pada aksi saingan menentang JDT pada Sabtu.
Menjelang pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT), ketiadaan Faisal sudah pasti dirasai terutamanya di bahagian serangan dengan pemain kebangsaan itu antara yang sering memberi banyak sumbangan dalam skuad Lembah Klang tersebut.
Turut menambahkan lagi kesulitan skuad Merah Kuning itu apabila pemain pertahanan Khuzaimi Piee juga tidak berada dalam kecergasan yang baik ekoran masalah hamstring.
"Kami daripada barisan jurulatih masih lagi mahu mendapatkan barisan terbaik untuk berdepan JDT.
"Terdapat beberapa pemain yang masih lagi mengalami kecederaan namun perancangan pasukan tidak terjejas," tambahnya.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri pada Sabtu ini antara perlawanan dengan kedua kelab kini merupakan dua pasukan tertinggi dalam saingan Liga Super.
JDT masih mendahului kedudukan dengan 51 mata daripada 17 kemenangan, manakala Selangor, selepas kemenangan 1-0 ke atas Sabah, di tempat kedua dengan 40 mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram