Kontroversi 'demand' gaji mahal, 3 sebab Selangor FC bukan destinasi sesuai buat Lee Tuck


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Ketika bersama Kedah, Lee Tuck juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan. — Facebook/KDAFC

KEPUTUSAN pemain naturalisasi negara, Lee Tuck mengucapkan selamat tinggal kepada pasukannya, Kedah Darul Aman (KDAFC) masih lagi hangat diperkatakan penyokong bola sepak tanah air.

Hal ini kerana keputusan itu dibuat secara mengejut dan atas persetujuan bersama bintang kelahiran England serta pihak pengurusan Sang Kenari.

Namun tidak dinyatakan punca sebenar pemain itu membuat satu keputusan yang berat untuk meninggalkan skuad Hijau Kuning sungguhpun dia menggalas tugas yang penting pada musim ini.

Sepanjang bersama skuad kendalian Nafuzi Zain, Lee Tuck sudah pun menjaringkan lima gol dan lima bantuan gol sepanjang 17 perlawanan dan menjadi antara prospek utama pasukan.

Berstatus ejen bebas ketika ini, Lee Tuck dilepaskan oleh KDAFC kerana terdapat dakwaan yang dia akan berhijrah ke Selangor FC atas faktor prestasi.

Namun begitu, jika melihat kepada prestasi terkini skuad Gergasi Merah, pasukan tersebut bukanlah destinasi yang sesuai buat Lee Tuck.

Berikut tiga sebab Selangor FC bukanlah destinasi terbaik buat pemain 35 tahun itu.

1. Penggantungan sementara Mickey singkat untuk Lee Tuck menyinar

361657235_755239259941138_4036278449986272240_n

Faisal Halim digantung empat bulan oleh FAM. — Facebook/SelangorFC

Umum mengetahui pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula semalam (25 Julai) hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.

Sekiranya berkelana ke Selangor FC pada ketika ini, ia dilihat tidak membantu perkembangan karier arkitek tengah tersebut kerana dia mungkin kehilangan slot dalam kesebelasan utama skuad Gergasi Merah sekiranya Faisal kembali beraksi.

Apatah lagi Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey itu merupakan tonggak utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

2. Lambakan pemain tengah menyerang

362904692_757770426354688_654139779562168488_n

Brendan Gan merupakan pemain tengah terbaik skuad Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC

Ketika ini, Selangor FC memiliki lambakan pilihan di posisi tengah yang mana merupakan satu nadi buat Cheng Hoe untuk meraih kemenangan.

Brendan Gan, Mukhairi Ajmal dan Yohandry Orozco merupakan antara alternatif yang dimiliki dengan masing-masing mampu memikul peranan tersendiri di atas padang.

Jadi, sekiranya Lee Tuck memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah, terdapat kemungkinan dia akan berdepan kesukaran mendapatkan minit permainan.

Pemain berkenaan perlu didedahkan dengan taktikal ketika berada di padang latihan sebelum keserasian bersama rakan sepasukan dapat dibentuk.

Selain itu, kemasukannya yang terlalu pantas akan mengakibatkan kecelaruan ketika Lee Tuck beraksi, sekali gus merencatkan perancangan ketika perlawanan.

3. Sukar untuk memenuhi permintaan gaji

2198612

Lee Tuck mempunyai permintaan gaji yang terlalu tinggi mencecah ratusan ribu ringgit ketika proses lanjutan kontrak bersama Sri Pahang FC. — Facebook/FAM

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan Lee Tuck mempunyai permintaan gaji yang terlalu tinggi mencecah ratusan ribu ringgit ketika proses lanjutan kontrak bersama Sri Pahang FC.

Situasi tersebut jelas mengejutkan rata-rata penyokong bola sepak tanah air sehingga ada yang pantas melabel pemain senior itu sebagai seorang mata duitan.

Jadi, sekiranya dia masih bertegas dengan permintaan terbabit, ia akan memberi satu tekanan terhadap struktur kewangan Selangor FC bagi baki musim 2023.

Ketika ini, pasukan Lembah Klang itu dijangka terpaksa menanggung kos pembayaran gaji yang tinggi melihat kepada reputasi pemain import yang dimiliki mereka.

Tidak cukup dengan itu, pemain lokal yang dibarisi Selangor FC juga bukanlah yang calang-calang dengan majoriti daripada mereka mempunyai tempat dalam skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram