
TUGASAN ketua jurulatih Kuching City FC ketika ini dipikul Firdaus Morshidi apabila pengendali berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim menamatkan kontraknya.
Keputusan berkenaan diambil berikutan prestasi buruk yang dicatatkan skuad The Cats dalam saingan Liga Super apabila mereka berada di tangga ke-12 selepas 17 perlawanan.
Meskipun sudah melakukan perbelanjaan secara besar-besaran ketika jendela perpindahan kedua, nasib pasukan Borneo itu masih tidak berubah.
Satu kemenangan dan empat keputusan seri menyaksikan mereka hanya mengumpul tujuh mata setakat ini dengan 12 mata diperlukan untuk berada dalam kelompok 10 pasukan teratas.
Masa depan Firdaus Morshidi bersama skuad The Cats tidaklah secerah yang diharapkan. — Facebook/Kuching City FC
Perubahan drastik pastinya perlu dilakukan pihak pengurusan Kuching City FC apabila terdapat kemungkinan penyingkiran akan berlaku pada penghujung musim.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam sebelum ini menyampaikan berita sedemikian, namun ia masih bergantung kepada kejayaan kelab Liga M3 untuk memperoleh lesen kebangsaan.
Jadi, dalam usaha mengelak kejatuhan lebih menyakitkan, terdapat ura-ura mengatakan bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak akan menerajui skuad The Cats.
Jurulatih kelahiran Singapura tersebut kini berstatus ejen bebas apabila kontraknya bersama kelab Indonesia, Persikabo 1973 ditamatkan secara serta-merta.
Keputusan berkenaan boleh dianggap sebagai talian hayat buat pasukan berkenaan yang pastinya tidak mahu menamatkan musim debut mereka dalam Liga Super berakhir dengan tragedi.
Ia dijangka akan menyebabkan tiga kelab bergelut yang lain mengambil tindakan sama dalam usaha mengekalkan status dalam divisyen teratas bola sepak tempatan pada 2024.
Melihat kepada situasi masing-masing, terdapat 'butang panik' yang sepatutnya ditekan pihak pengurusan sekiranya mereka tidak mahu tergelincir ke saingan Liga M3.
1. Perak FC (Bawa masuk lebih ramai pemain muda)
Sekiranya hendak dibandingkan antara empat pasukan di dasar carta Liga Super, Perak FC pastinya masih mampu menarik nafas lega berdasarkan kedudukan mereka setakat 17 perlawanan.
13 mata yang dikutip menyaksikan mereka mempunyai kelebihan berbanding Kuching City FC dan Kelantan United yang terikat dengan tujuh mata.
Bagaimanapun, sekiranya perubahan mula dibuat pasukan-pasukan lain, skuad The Bos Gaurus (TBG) pasti perlu memberi perhatian lebih banyak untuk mengelakkan penyingkiran.
Hakimi Isa merupakan prospek terbaik yang dimiliki skuad muda TBG ketika ini. — Facebook/Perak FC
Tetapi, berdasarkan kualiti skuad yang dimiliki ketika ini, tiada kekurangan signifikan untuk diperbaiki, lebih-lebih lagi selepas beberapa pemain dibawa masuk.
Namun, sekiranya pihak kejurulatihan bercita-cita untuk melakukan penggiliran, mereka perlu membawa masuk ubi-ubi muda yang beraksi dalam saingan Piala MFL.
Hakimi Mat Isa dan Nik Umar Nik Aziz merupakan antara calon terbaik untuk 'dinaikkan pangkat' selepas menampilkan bakat masing-masing bersama skuad remaja.
Kemasukan pemain muda dalam pelbagai posisi akan mengelakkan kemungkinan kecederaan serius dialami, sekali gus membantutkan taktikal ketua jurulatih, Yusri Che Lah.
2. Kelantan United (Gunakan khidmat import sekerap mungkin)
Selain Perak FC, Kelantan United merupakan salah sebuah pasukan lain yang berbelanja besar sejak jendela perpindahan kedua dibuka pada awal Julai lalu.
Penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade serta bek tengah bertubuh sasa, Dominik Balic merupakan antara yang direkrut sebagai persiapan menambah baik kedudukan masing-masing.
Namun, setakat ini, kesemua yang disambar masih gagal untuk mempamerkan belang setiap kali beraksi apabila skuad Kijang Hijau terus menunggu untuk mencatatkan kemenangan kedua mereka musim ini.
Perubahan ketua jurulatih semestinya sukar untuk dilaksanakan memandangkan pasukan Pantai Timur berkenaan sudah menyambar khidmat Ailton Silva untuk menggantikan Tomas Trucha.
Ismaheel merupakan salah seorang rekrut yang dibawa masuk skuad Kijang Hijau. — Facebook/Kelantan United FC
Oleh itu, talian hayat yang boleh diambil Kelantan United adalah dengan mengerah khidmat kesemua pemain import yang dimiliki setiap kali perlawanan diadakan.
Berdasarkan kuota ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sesebuah pasukan Liga Super hanya boleh dibarisi lima pemain luar negara dengan salah seorang daripadanya perlu merupakan seorang yang berasal dari negara Asia Tenggara.
Kebergantungan terhadap mereka akan menaikkan lagi kemungkinan untuk mereka kekal memandangkan terdapatnya satu perubahan ketara antara import dan pemain lokal.
Tetapi, ia masih dilihat sebagai satu langkah yang sedikit berisiko apabila penggunaan terlalu kerap akan mengganggu tahap kecergasan masing-masing.
3. Kelantan FC (Beri masa buat Alfredo Vera)
Antara perubahan yang sering dilakukan pihak pengurusan Kelantan FC sepanjang musim ini adalah dengan penggiliran ketua jurulatih sebanyak beberapa kali.
Prestasi tidak menentu menyaksikan pengendali kelahiran Korea Selatan, Choi Moon-sik digugurkan untuk memberi laluan buat Frank Bernhardt.
Tetapi, bekas ketua jurulatih UiTM FC terbabit tidak dapat membawa sebarang perubahan apabila dia tidak mengumpul sebarang mata sepanjang beberapa minggu mengendalikan skuad The Red Warriors (TRW).
Alfredo Vera memikul satu tanggungjawab berat bersama skuad TRW ketika ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Jadi, sebagai pengganti, pihak pengurusan kelab memilih untuk membawa masuk seorang jurulatih kelahiran Argentina, Alfredo Vera yang pernah menimba pengalaman di Indonesia.
Keputusan tersebut dilihat cukup tepat memandangkan dia terpaksa menggunakan khidmat pemain muda dengan hanya Leonardo Rolon dan Nathaneal Siringoringo merupakan import yang dimiliki Kelantan FC.
Setakat tiga perlawanan yang dikendalikannya, terdapat perubahan positif yang dapat dilihat penyokong skuad TRW berbanding persembahan sepanjang awal musim lalu.
Oleh itu, satu-satunya harapan untuk Kelantan FC mengelakkan diri daripada meninggalkan Liga Super adalah dengan meletakkan kepercayaan tinggi terhadap Alfredo untuk baki musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram