SATU penghormatan buat setiap pemain dalam dunia untuk menyarung jersi skuad kebangsaan negara mereka kerana ia merupakan pentas tertinggi dalam dunia bola sepak.
Malah setiap negara akan memanggil kesemua pemain terbaik untuk menyarung jersi skuad kebangsaan dan membawa nama negara untuk memperoleh kejayaan.
Antara legenda-legenda Harimau Malaya yang sudah mengharumkan nama negara ialah Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh, Datuk Zainal Abidin Hassan dan ramai lagi.
Rata-ratanya legenda ini sudah beraksi lebih 100 penampilan bersama Harimau Malaya dan turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun adakah anda tahu tidak semua mampu mengikuti jejak langkah legenda Harimau Malaya malah ada yang belum berjaya melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan lebih lima kali.
Majoriti senaraikan antara empat pemain yang belum lagi capai rekod lima penampilan bersama Harimau Malaya:
Antara momen Faiz menghasilkan gol jarak jauh ketika bertemu Afghanistan.
1. Faiz Nasir
Walaupun diberi gelaran Messi Terengganu, Faiz Nasir hanya sempat melakukan tiga penampilan bersama skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Namun rekod Faiz bersama Harimau Malaya tidak begitu buruk kerana dia berjaya menghasilkan dua jaringan ketika bertemu Afghanistan dan Timor-Leste pada 2019.
Sebenarnya Faiz boleh mendapatkan lima kaps bersama skuad kebangsaan jika dia tidak memanaskan bangku simpanan ketika bertemu Singapura dan Nepal pada tahun yang sama.
Faiz masih lagi aktif bermain dan kini sedang beraksi bersama Kelantan United FC secara pinjaman daripada Terengganu FC bagi baki saingan Liga Super 2023.
Afiq menyarung jersi Harimau Malaya sewaktu menentang Hong Kong pada 2015.
2. Muhammad Afiq Azmi
Siapa tidak kenal dengan antara penyerang tinggi lampai yang pernah mewarnai Liga Malaysia bersama Kelantan FC dan Selangor FC ini.
Afiq Azmi salah seorang pemain yang amat berbisa dengan tandukannya dengan corak permainan ala-ala legenda England, Peter Crouch.
Bekas pemain berusia 34 tahun ini menunjukkan taringnya bersama Selangor sehingga berjaya menarik perhatian Datuk Dollah Salleh untuk memanggilnya ke dalam skuad kebangsaan pada 2015.
Jaringan hatrik bertemu Lions XII antara momen yang tidak akan dilupakan penyokong Selangor terhadap penyerang berketinggian 1.85 meter itu.
Namun lain pula ceritanya bersama skuad kebangsaan, Afiq gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga penampilan bersama Harimau Malaya.
Afiq diturunkan dalam tiga perlawanan iaitu menentang Palestin, Timor-Leste dan Hong Kong pada 2015.
Rozaimi (kiri) dan Azizzan (kanan) kini beraksi bersama Machan FC di Liga M4.
3. Azizzan Nordin dan Rozaimi Abd Rahman
Kedua-dua pemain itu merupakan anak kelahiran Sabah dan antara prospek hangat semasa zaman muda mereka.
Rozaimi Abd Rahman pernah mendapat gelaran Neymar Malaysia kerana corak permainan dan penampilannya mirip bintang Brazil tersebut.
Manakala Azizzan Nordin pernah menjadi tunjang utama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee semasa mewakili Harimau Muda.
Namun nama kedua-dua bintang ini mula malap selepas Rozaimi mengalami kemalangan yang meragut nyawa sepupunya pada 2015.
Manakala Azizzan seakan-akan hilang rentak permainannya selepas tidak lagi mewakili Sabah dengan menyertai Penang pada 2021.
Duo Sabah itu berjaya melakukan debut bersama Harimau Malaya, malangnya itu juga merupakan pengakhiran mereka bersama skuad kebangsaan sebelum terus hilang dari peta bola sepak Malaysia.
Rozaimi melakukan debut seawal usia 19 tahun yang mana dia dipanggil oleh Datuk K. Rajagobal untuk turun beraksi menentang Sri Lanka pada 2012.
Manakala Azizzan pula turut melakukan debut ketika menentang Sri Lanka dan berada di bangku simpanan bertemu Thailand dan Vietnam pada 2019.
Kini mereka dilaporkan kembali aktif beraksi dalam Liga M4 bersama Machan FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram