
PERAK FC akhirnya berjaya menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan selepas berjaya menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching, Sarawak pada 16 Julai lalu.
Keputusan positif tersebut membolehkan skuad The Bos Gaurus menjarakkan diri daripada pasukan tiga tercorot liga kepada enam mata apabila memungut 13 mata hasil daripada tiga kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan.
Pada waktu ini, kelompok tiga tercorot diisi oleh Kuching City FC dan Kelantan United FC yang masing-masing memperoleh tujuh mata manakala Kelantan FC yang berada di tangga ke-14, sekadar memungut lima mata.
Dengan kemenangan sulung di bawah kendalian ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah itu, skuad The Bos Gaurus yang kini berada di tangga ke-11 pastinya mahu berusaha meneruskan rentak kemenangan itu bagi membolehkan pasukan terus memperbaiki kedudukannya di carta liga.
Kehadiran Jesper berjaya menyuntik impak positif bagi barisan pertahanan Perak FC. — Facebook/PerakFC
Namun begitu, menjelang aksi seterusnya menentang Sri Pahang FC pada Ahad ini, kem Perak FC menerima satu berita kurang baik selepas seorang tonggak import utamanya di barisan tengah iaitu Jesper Nyholm disahkan tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin ketika menjawab pertanyaan peminat di Group Telegram TBG Fans Official.
Menurutnya, bek tengah kelahiran Sweden itu dijangka perlu berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu ekoran daripada kecederaan dialami.
Jesper merupakan antara muka baharu yang dibawa masuk Perak FC pada jendela perpindahan pertengahan musim kali ini.
Meskipun baru sahaja membuat dua penampilan, pemain berketinggian 1.83 meter (m) itu dilihat memberikan pengaruh dan kestabilan yang baik buat barisan pertahanan TBG.
Malah, dia juga disifatkan sebagai antara watak utama yang membantu pasukan mencapai kemenangan ketiga liga ketika menentang Kuching City FC.
Ekoran daripada itu, Bobie yang menggunakan nama Ariesham di Telegram berkata, kekosongan ditinggalkan Jesper itu dijangka diisi oleh pemain import tengah bertahan pasukannya, Sunday Afolabi yang turut pernah bermain di posisi tersebut dalam beberapa perlawanan awal liga sebelum ini.
Seonung bakal kembali mengisi kesebelasan utama Perak FC selepas baru sahaja pulih daripada kecederaan. — Facebook/PerakFC
Dalam pada itu, difahamkan penyerang import pasukan Perak FC, Seo Seonung bakal turut diturunkan dalam kesebelasan utama ketika aksi menentang Sri Pahang FC pada minggu ini.
Kelibat penyerang daripada Korea Selatan itu ternyata amat ditagih selepas pemain itu menjadi wira TBG dengan menyumbat gol kemenangan ketika menentang Kuching City FC meskipun hanya beraksi sebagai pemain gantian.
Dia yang kini mengumpul empat jaringan daripada lapan perlawanan sebelum itu terpaksa diketepikan dalam sembilan perlawanan akibat kecederaan.
Pada masa sama, Bobie turut memaklumkan seorang lagi pemain Perak FC yang masuk ke dalam senarai perlu direhatkan akibat kecederaan ialah pemain tengahnya, Syukri Baharun.
"Shukri kena tunggu bengkak surut baru buat MRI (imbasan resonans magnetik) dan lain-lain (rawatan lanjut)," katanya.
Aksi ke-18 Liga Super 2023 pada Ahad depan, menyaksikan skuad TBG akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang bagi menentang pasukan di tangga keempat liga, Sri Pahang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram