Selain LTK, ramai tak tahu 4 lagi legenda HM juga pernah sarung jersi KL


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Skuad Warga Kota pernah melalui zaman kegemilangannya apabila berjaya merangkul Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989. — KL City FC

BAKAL berdepan dengan tugas getir pada aksi final Piala FA 2023 pada Sabtu, Kuala Lumpur (KL) City FC pastinya mahu menampilkan aksi yang terbaik sekali gus membuktikan mereka mampu memberi saingan kepada skuad gergasi Johor Darul Takzim (JDT).

Apatah lagi, pasukan yang digelar kelab 'underdog' mempunyai rekod pernah mengalahkan JDT 2-0 dalam pentas final Piala Malaysia Edisi Ke-100 pada 2021.

Pada masa sama, meskipun hanya menang satu daripada tujuh aksi bersama JDT sejak 2021, namun KL City FC dilihat pasukan yang agak konsisten mampu menembusi gawang JDT sebanyak lima kali sepanjang tempoh tersebut.

Pada 2022 pula, KL City FC melakar satu lagi sejarah membanggakan apabila layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab Sogdiana dari Kazakhstan.

Berbicara tentang skuad kendalian Bojan Hodak itu, pasti ramai yang kurang mengetahui sejarah tertubuhnya skuad Warga Kota itu.

Untuk rekod, pasukan tersebut mula ditubuhkan pada 1974 dan dikenali sebagai Wilayah Persekutuan serta diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Wilayah Persekutuan.

Kelab ini pernah menjuarai Liga Malaysia pada 1986 dan 1988 dan mencipta sejarah apabila memenangi Piala Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut pada 1987, 1988, dan 1989 selain Piala FA Malaysia pada 1993, 1994, dan 1999.

Malah, pasukan ini juga cukup dikenali menghasilkan beberapa pemain ternama dengan ada segilintir daripada mereka boleh dianggap sebagai legenda yang pernah menyumbang bakti kepada skuad Harimau Malaya.

Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan lima pemain yang pernah menjadikan kelab Lembah Klang itu sebagai destinasi karier mereka mencipta nama sebagai legenda bola sepak:

1. Azman Adnan

KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Azman Adnan ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Jenama Azman Adnan di Cheras hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Azman Adnan tersenarai sebagai salah seorang penyerang prolifik bersama The City Boys suatu ketika dahulu apabila menjaringkan 29 gol sepanjang satu musim.

Azman pernah menyarung jersi KL City FC ketika zaman kegemilangannya dikenali sebagai antara penyerang berbisa di Malaysia.

Bekas pemain kebangsaan ini juga tersenarai sebagai salah seorang penyerang prolifik bersama The City Boys suatu ketika dahulu apabila menjaringkan 29 gol sepanjang satu musim bersama.

Pada ketika itu, skuad Warga Kota juga terpaksa meletakkan tanda harga sebesar RM1 juta sebagai yuran perpindahan jika mana-mana pasukan mahukan khidmat anak bekas anggota tentera kelahiran Kem Terendak, Melaka itu.

Akhirnya, skuad Warga Kota yang mengasah bakat Azman dari 1989 hingga 1992, tidak mampu lagi membendung pemergian pemain itu ke Selangor namun hanya dengan beroleh yuran perpindahan sekitar RM250,000.

2.Safee Sali

FB2EC5FD-98D9-492E-847C-BBD281DF25A2

Safee membuat penampilan terakhirnya di pentas final Piala AFC ketika The City Boys tumpas 0-3 kepada Al-Seeb pada Oktober 2022.

Selepas melalui hampir 20 tahun karier bola sepak profesional, Safee akhirnya melabuhkan sauhnya selepas kali terakhir tampil bersama KL City FC pada musim lalu.

Cuma ramai yang tak tahu, Safee sebenarnya memulakan kariernya bersama KL sebelum berhijrah ke Sarawak dan Selangor yang menyaksikan beliau membuktikan kemampuan sebagai antara penyerang profilik Harimau Malaya, sebelum berhijrah ke kalab Indonesia, Pelita Jaya.

Bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu membuat penampilan terakhirnya di pentas final Piala AFC ketika The City Boys tumpas 0-3 kepada Al-Seeb pada Oktober 2022.

Ketika bersama skuad Warga Kota, pemain kelahiran Selangor itu sangat digeruni oleh pihak lawan berdasarkan pengalamannya yang amat luas dalam lanskap bola sepak tanah air.

Meskipun jarang diturunkan sepanjang bersama kelab Lembah Klang itu, kelibatnya di bangku simpanan pastinya cukup digeruni benteng pertahanan lawan.

Untuk rekod, Safee mencatatkan lima penampilan bersama pasukan itu dengan kesemuanya hadir dari bangku simpanan.

3. Shukor Adan

1453742

Shukor Adan kini berkhidmat bersama skuad Warga Kota sebagai penolong jurulatih.

Muhammad Shukor Adan merupakan seorang pemain bola sepak Malaysia kini yang pernah menjadi ketua pasukan dan mewakili Kuala Lumpur City FC di Liga Super Malaysia pada suatu ketika dahulu kini berkhidmat bersama skuad Warga Kota sebagai penolong jurulatih.

Shukor mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak selepas pasukannya, KL City FC menjuarai Piala Malaysia 2021.

Untuk rekod, Shukor mula beraksi bersama skuad utama Malaysia ketika kelayakan Piala Dunia 2002 pada tahun 2001. Shukor juga merupakan tonggak pasukan bawah 23 tahun Malaysia yang memenangi pingat perak pada kejohanan Sukan SEA 2001.

4. Khalid Ali Hasan

khalid-ali

Khalid sempat berkelana semusim ke Kuala Lumpur dari tahun 1981 hingga 1982 membantu pasukan tetangga Lembah Klang ini memenangi Piala Emas Raja-Raja. — Sportivo

Khalid Ali cukup terkenal sebagai seorang pemain tengah yang bermain pada era 1970-an serta pernah membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Rusia pada 1980.

Pemain berkenaan pastinya lebih diingati sebagai seorang legenda Selangor FA apabila dia membantu pasukan itu merekodkan pencapaian bersejarah sepanjang keberadaannya di kelab itu.

Tetapi perlu diingatkan bahawa anak jati Selangor tersebut pernah mewakili seteru kepada skuad Gergasi Merah untuk tempoh yang pendek.

Khalid yang gemar berambut gaya afro ketika usia muda, sempat berkelana semusim ke Kuala Lumpur dari tahun 1981 hingga 1982 membantu pasukan tetangga Lembah Klang ini memenangi Piala Emas Raja-Raja.

Bagaimanapun, kelibatnya kembali dirindui pihak pengurusan Selangor FA mendapatkan khidmatnya kembali apabila kontraknya tamat.

5. Datuk Lim Teong Kim

2099047

Sepanjang 17 penampilannya bersama skuad Warga Kota pada ketika itu, Teong Kim difahamkan berjaya menjaringkan dua gol. — Facebook/PerakFC

Siapa sangka, Datuk Lim Teong Kim ketika era kegemilangannya adalah salah seorang daripada bintang pasukan KL City FC satu ketika dahulu apabila beliau bermain untuk pasukan tersebut pada 1984 hingga 1986.

Selepas itu, dia berhijrah ke Jerman selama setahun dan kemudiannya kembali ke Kuala Lumpur dan bermain bersama-sama skuad Warga Kota sehingga tahun 1991.

Untuk rekod, sepanjang 17 penampilannya bersama skuad Warga Kota pada ketika itu, beliau difahamkan berjaya menjaringkan dua gol.

Sementara itu, ketika bersama-sama skuad kebangsaan, Teong Kim pernah memenangi gelaran pingat emas Sukan SEA pada 1989 yang ketika itu merupakan kejayaan terakhir negara dalam acara tersebut sebelum merangkulnya semula pada 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram