[VIDEO] Tak tahu apa punca, bek KDA FC B tendang pemain JDT II ketika bersalaman


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Perlawanan hangat menyaksikan kedua-dua pasukan terpisah dengan satu gol yang dijaringkan Rafiekri Rosman. — Facebook/KDA FC B

PERTEMBUNGAN Piala MFL pada Isnin menyaksikan dua pasukan dalam Kumpulan A, Johor Darul Takzim (JDT) II dan Kedah Darul Aman (KDA) berentap untuk menentukan kelayakan masing-masing ke peringkat seterusnya.

Aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor itu menyaksikan skuad muda Sang Kenari turun dengan dua pemain import iaitu penggempur berbisa mereka, Ebenezer Assifuah dan Alan Robertson.

Bagi JDT II pula, mereka memilih untuk meletakkan kepercayaan terhadap pemain muda dalam misi mereka merebut tempat kedua dalam carta liga.

Percaturan itu tampak berhasil buat pasukan Selatan tanah air itu apabila mereka mendahului pada minit ke-42 hasil jaringan Rafiekri Rosman.

Keputusan tersebut kekal sehingga penghujung permainan, sekali gus membantu JDT II meraih posisi naib juara sementara KDA FC B menamatkan saingan Piala MFL di tangga keempat.

Namun, satu insiden mencuri perhatian berlaku selepas wisel penamat ditiupkan ketika pemain kedua-dua pasukan sedang bersalaman sebelum memasuki bilik persalinan.

Berdasarkan potongan video yang giat dikongsikan di media sosial, kelihatan pertahanan KDA FC B, Hariz Mansor secara menendang paha pemain JDT II, Syukur Fariz yang sebelum itu dilihat 'menampar' kepala pemain Sang Kenari tersebut.

Insiden itu mengakibatkan kedua-dua pemain terpaksa dipisahkan dalam usaha mengelak kejadian lebih buruk berlaku di atas padang.

Setakat ini, tiada kenyataan dibuat JDT II mahupun KDA FC B mengenai situasi tersebut dengan punca atas kekecohan itu masih belum dikenal pasti.

Kedua-dua pasukan selepas ini bakal berentap dalam peringkat kalah mati Piala MFL dengan lawan masing-masing hanya akan ditentukan selepas aksi Kumpulan B. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram