[VIDEO] Fans bangkit 2 persoalan, gesa menteri KDN respon dakwaan JMF pukul penyokong KL City


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Tangkap layar antara video yang dipercayai merakam insiden seorang penyokong didakwa dipukul oleh anggota pasukan keselamatan.

ARENA bola sepak tanah air pada Isnin dikejutkan dengan berita mengenai insiden seorang individu mendakwa dipukul oleh anggota pasukan keselamatan ketika menghadiri perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu lalu.

Perkara mengenai insiden tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin selepas mangsa yang berusia 30 tahun tampil membuat laporan polis pada Ahad di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menurut laporan, mangsa mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF) ketika hadir untuk menyaksikan perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC di stadium berkenaan.

Ekoran daripada insiden tersebut, individu terbabit yang sudah mendapatkan rawatan dan ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disahkan mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

362671211_664416722397098_2904560145049317548_n

Kecederaan dialami mangsa yang mendakwa dipukul oleh anggota pasukan keselamatan.

Rahmat berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya.

Beberapa video yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden yang berlaku di SSI itu turut tular sejak Isnin.

Perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang berpandangan bahawa isu keganasan tidak seharunya wujud di tempat seperti stadium yang kebiasaannya turut dihadiri oleh ahli keluarga dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, terdapat peminat yang turut menimbulkan beberapa persoalan penting berhubung insiden yang membabitkan pihak daripada anggota pasukan keselamatan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Kes ini menimbulkan beberapa persoalan. Pertama, siapa yang memberi arahan untuk menangkap penonton dan atas alasan apa mereka ditangkap? Kedua, adakah anggota JMF telah melangkaui bidang kuasa mereka?

“Kita menanti untuk Menteri Dalam Negeri bagi memberikan komen,” ujar SyedJumalZahiid yang turut memetik akaun rasmi Saifuddin di ciapan tersebut.

Sementara itu, wartawan sukan negara, Haresh Deol berkata kes tersebut perlu disiasat dan didedahkan kepada umum.

“Tiada siapa di atas undang-undang,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.

Untuk rekod, tugas utama JMF atau dikenali Askar Timbalan Setia Negeri adalah melibatkan hal istiada istana antaranya dalam menjaga keselamatan dan keselesaan Sultan, Tunku Mahkota Johor dan tetamu diraja

Dalam pada itu, pasukan keselamatan tersebut juga berperanan sebagai barisan kedua di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram