[VIDEO] 'Jangan rosakkan key player negara', terjahan keras ke atas Faisal Halim dikhuatiri hancur misi Piala Asia


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Susulan terjahan ke atas Faisal itu, Amri dilayangkan kad kuning daripada pengadil perlawanan.

DI sebalik kemenangan Selangor FC meraih tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menewaskan Sabah FC 1-0 pada Ahad, ujian hebat pula terpaksa ditanggung pemain sayap Gergasi Merah, Faisal Halim.

Pada perlawanan ke-18 Liga Super itu menyaksikan penyerang import, Ayron Del Valle muncul wira apabila berjaya menyudahkan hantaran bantuan dari Richmond Boakye pada minit ke-23.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor itu menyaksikan tonggak sayap skuad kebangsaan itu diterjah keras oleh pemain berpengalaman Sabah FC, Amri Yahyah pada akhir babak kedua.

Tindakan dari bekas penyerang Selangor itu menyebabkan Faisal ataupun pemain yang mesra dengan sapaan Mickey tersebut mengalami kecederaan, selain Amri juga menerima kecaman hebat dari penyokong Gergasi Merah selepas perlawanan tersebut.

Selepas perlawanan di MBPJ tersebut, bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu berkongsi keadaannya di laman Insta Story peribadinya bagi menjawab segala persoalan dan kerisauan penyokong Selangor terhadap kecederaanya.

“Saya okay,” tulis Faisal ringkas sambil memuat naik gambar keadaan keting kakinya yang cedera selepas menerima terjahan keras dari Amri.

Keadaan Faisal itu sedikit sebanyak merisaukan penyokong Gergasi Merah terutamanya khidmatnya di bahagian serangan akan diperlukan dalam aksi menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada 29 Julai ini.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 19.14.40

Tangkap layar hantaran Insta Story Faisal

Bukan hanya merugikan Gergasi Merah kerana jika Faisal mengalami kecederaan, malah ia turut memberi impak kepada skuad kebangsaan berikutan pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan tonggak utama Harimau Malaya yang akan berjuang di saingan Piala Asia tahun depan.

“Janganlah buat macam itu dekat pemain Malaysia kita, Tolonglah faham pemain itu. Kita ada perlawanan besar untuk Asia, janganlah jahananamkan negara kita macam ini.

“Macam mana Malaysia nak beri persembahan terbaik kalau pemain tempatan sendiri buat tackle bodo* dekat key player negara kita sendiri. Tolonglah jangan jadi bodo*. Fikirlah Faisal itu pemain negara kita,” komen penyokong Selangor, apih9_9.

“Bukan biasa-biasa ini. Sepatutnya pengadil bagi kad merah dan bukannya kad kuning. Semoga cepat sembuh Faisal,” tambah seorang lagi penyokong Selangor, Muhammad.

Seandainya Faisal perlu mengambil cuti lama untuk proses pemulihan, pemain sayap itu akan terlepas aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada September ini yang dijadual bertemu Mesir di negara itu ataupun bertandang ke China bagi perlawanan berstatus sama sebagai pilihan kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram