Tindakan di Stadium Sultan Ibrahim wajar untuk elak provokasi — Mohd Hairi


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Mohd Hairi berpandangan keputusan pihak pengurusan Stadium Sultan Ibrahim, Johor melakukan keputusan tepat.

TINDAKAN pantas pihak berwajib ketika perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu dapat membantu mengelakkan provokasi berpanjangan berlaku antara kedua-dua penyokong.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan pihak berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia itu penting, bagi memastikan keselamatan orang ramai, terutamanya kanak-kanak lebih terjamin.

Dia turut menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dengan meminta pihak berwajib membuat kawalan di stadium bagi mengelakkan kecelakaan berlaku khususnya ketika perlawanan berlangsung.

"Rata-rata penyokong mungkin merasa ghairah untuk ke stadium yang bertaraf antarabangsa atau teruja kerana pertama kali datang dan tidak dapat menahan diri.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 14.38.34

Tindakan tegas seorang anggota JMF mencuri perhatian media dan penyokong bola sepak tempatan.

"Jadi, tindakan pantas pihak berwajib bertujuan mengawal kemungkinan berlaku pergaduhan di dalam atau di luar stadium, sekali gus elak provokasi meluas,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah di Johor Bahru pada Selasa.

Mohd Hairi mengeluarkan kenyataan itu ketika mengulas mengenai beberapa video tular, memaparkan pihak berwajib membawa keluar beberapa penyokong yang dipercayai membuat provokasi semasa menonton perlawanan akhir bola sepak tersebut di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilapor berkata, seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara JDT dan KL City, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF).

Rahmat dipetik berkata, lelaki berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi, Ahad. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram