KL City simpati insiden penyokong cedera dibelasah di SSI, KLFA tunggu laporan terperinci


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Perbincangan hangat tercetus dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berikutan kecederaan yang dialami penyokong KL City FC ketika perlawanan akhir Piala FA.

PERLAWANAN akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu diwarnai insiden kekecohan di luar stadium.

Aksi yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu menyaksikan penyokong kedua-dua pasukan membanjiri venue final tersebut dengan kemeriahan dapat disaksikan sehingga ke kaca televisyen.

Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah apabila terdapat rakaman daripada orang ramai memaparkan sebilangan penonton setia KL City FC dihalau dari stadium.

Tindakan itu dibuat berpunca daripada kekecohan dilakukan mereka berjaya disedari pihak keselamatan yang kemudiannya membawa penyokong tersebut keluar ketika perlawanan masih berlangsung.

Lebih mencuri perhatian lagi, kelibat seorang pegawai tinggi daripada Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang bertindak tegas kepada penyokong skuad Warga Kota sempat dirakam pengunjung di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak terhenti di situ apabila perkongsian di media sosial mendapati salah seorang daripada mereka dipukul dengan teruk.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 14.38.34

Seorang pegawai tinggi JMF mencuri perhatian apabila bertindak tegas kepada penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain satu klip di pekarangan stadium mula tular, terdapat juga sekeping foto yang memaparkan individu berkenaan mengalami kecederaan teruk di muka.

Menurut laporan media tempatan, peminat KL City FC itu mengalami pendarahan di kepala dan di mata kanan serta lebam seluruh badan di samping patah hidung.

Situasi berkenaan mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial dengan sebahagian daripada mereka menyelar keganasan berlebihan itu.

Bagi mendapatkan keadilan, satu laporan polis sudah dibuat lelaki berusia 30 tahun berkenaan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan hal itu.

Tetapi, sehingga kini, tiada perkembangan mengenai isu tersebut dengan pihak berkuasa terus meminta agar orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 16.13.28

Nokman mahu menunggu laporan terperinci sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

Jadi, bagi mendapatkan informasi lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil, Majoriti bertindak menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak KL (KLFA), Nokman Mustaffa.

"Kita perlu tunggu laporan polis yang mereka buat. Insya-ALLAH, kami akan bertemu individu tersebut pada Selasa petang," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, KL City pada hari sama mengeluarkan kenyataan di media sosial rasmi kelab yang turut bersimpati kepada keluarga serta kenalan penyokong berkenaan.

"Kami bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan mereka terhadap insiden tersebut ekoran laporan polis yang dibuat oleh salah seorang penyokong yang menjadi mangsa keadaan.

"Kami menggesa mana-mana saksi dengan bukti kejadian ini agar menghubungi kami supaya keadilan dapat diperolehi oleh mangsa," tulis kelab itu.

Dalam mendapatkan status mengenai laporan berkenaan, Majoriti turut berkesempatan menghubungi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, mereka masih belum dapat mengeluarkan kenyataan dengan siasatan terperinci masih dibuat bagi mengetahui punca kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram