Kelibat tonggak TFC muncul dalam sesi latihan, 'hint' kekal bersama Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 25 Jul 2023

Sekitar sesi latihan pasukan Terengganu FC untuk menghadapi skuad Jang Jumaat depan. — Instagram/officialterengganufc

MENJELANG perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 28 Julai depan, penyokong Terengganu FC (TFC) menarik nafas lega selepas kelibat tonggak pertahanan Sang Penyu, Azam Azmi Murad muncul dalam sesi latihan pasukan tersebut.

Difahamkan, Azam Azmi mengalami kecederaan yang menyebabkan dia terpaksa berehat seketika selama dua perlawanan sebelum ini dan kini dilihat kembali beraksi untuk memperkuatkan pertahanan pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 16.17.39

Tonggak pertahanan TFC, Azam Azmi. — Instagram/officialterengganufc

Pada musim ini, Azam Azmi sudah beraksi 15 perlawanan bersama skuad Hitam Putih dan merupakan tonggak penting TFC yang beraksi cemerlang dan berjaya membuat cleansheet sebanyak tujuh kali.

Bukan sahaja mampu memperkuatkan pasukan TFC dari sudut pertahanan, namun Azam Azmi juga membantu dari sudut serangan kerana pemain berketinggian 1.74 meter itu dilihat sering membuat larian overlapping dan berjaya memberikan tiga assist selain satu jaringan dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi @officialterengganufc, kelibat Azam Azmi memberi kelegaan kepada penyokong Sang Penyu yang didakwa menanti kemunculan pemain berusia 22 tahun itu.

Sebelum ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pernah dikaitkan ke Selangor FC yang dilihat memerlukan khidmat pemain pertahanan itu.

Bukan sahaja Selangor FC namun pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) juga dikatakan menginginkan khidmat pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Bagaimanapun, ejen Azam, Joe Berbatov sudah menjelaskan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa pemain muda itu kekal bersama Terengganu FC sehingga 2025.

"Tiada sebarang tawaran dari mana-mana kelab buat masa ini. Harap maklum," kata ejen tersebut dalam hantaran di laman Twitter miliknya.

Azam Azmi dilihat lebih mementingkan minit permainan untuk kemajuan kariernya sebagai pemain bola sepak apabila sering diberikan kepercayaan untuk turun beraksi oleh pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram