Lepas menang tipis lawan Sabah, fans yakin 4 tonggak Gergasi Merah dipanggil lawan Mesir atau China


  • Podium
  • Isnin, 24 Jul 2023

Sharul antara tonggak utama di bahagian pertahanan Selangor dan sudah tampil dalam 14 aksi Liga Super musim ini. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC berhasil mengukuhkan kedudukan di tempat kedua Liga Super apabila meraih kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Dalam perlawanan sebagai penghormatan buat mendiang B Sathianathan itu menyaksikan penyerang import, Ayron Del Valle muncul wira apabila berjaya menyudahkan hantaran bantuan dari Richmond Boakye pada minit ke-23.

Meskipun hanya melakar kemenangan tipis, namun setidaknya skuad Gergasi Merah berhasil melunaskan misi untuk membalas dendam selepas kekalahan 1-2 di Stadium Likas, Sabah pada April lalu, sekali gus ia menambah tiga mata penting buat Gergasi Merah.

Tidak dapat dinafikan pujian harus diberikan kepada penyerang kelahiran Columbia kerana jaringan golnya menyelamatkan maruah Gergasi Merah di laman sendiri namun persembahan beberapa pemain tempatan turut mencuri tumpuan penyokong Selangor.

Antara tonggak tempatan yang memberikan persembahan cemerlang dan membalas kepercayaan pengendali, Tan Cheng Hoe selepas meletakkan mereka sebagai kesebelasan utama Selangor ialah Faisal Halim, Khuzaimi Piee, Sharul Nazeem dan penjaga gol, Samuel Somerville.

Persembahan berkualiti diberikan empat tonggak itu membuatkan penyokong Gergasi Merah berpendapat bahawa mereka akan mendapat panggilan ke kem Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan seterusnya.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 16.54.51-2

Faisal sudah mencetak lapan gol buat Selangor musim ini bagi saingan Liga Super. — Facebook/SelangorFC

“Sekarang local yang konsisten main Faisal Halim, Afro (Sharul), Khuzaimi okay tapi masalah cepat cedera, Sam (Samuel). Mukhairi (Mukhairi Ajmal) dan Cheng (Quentin Cheng) macam biasa naik turun prestasi.

“Kemungkinan empat pemain ini akan di dipanggil Kim Pan-gon lawan China atau Mesir nanti,” kata penyokong Gergasi Merah, Syafiq Kigyoka.

Dalam kalangan empat pemain itu, penyerang sayap, Faisal merupakan pemain yang sering mendapat kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Pan-gon untuk mengemudi jentera serangan Harimau Malaya dan tonggak kelahiran Pulau Pinang itu juga merupakan ketua pasukan skuad kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya memasang impian mahu mengadakan dua perlawanan persahabatan membabitkan pasukan yang berada di ranking bawah 100 dunia pada jendela aksi antarabangsa September ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumka bahawa aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu Mesir di negara itu adalah antara pilihan skuad kendalian Pan-gon adalah antara pilihan selain bertandang ke China bagi perlawanan berstatus sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram