DUA belas perlawanan, 17 mata, lima menang, dua seri dan lima kalah. Itu prestasi semasa Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super musim 2022.
Menghuni di tangga kelima, dengan pisahkan 15 mata dari pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) sungguh menyakitkan mata penyokong dan peminat Kedah.
Apatah lagi, sejak JDT mendominasi Liga Super bermula 2014, skuad Harimau Selatan itu terus terpahat sebagai seteru rapat Kedah yang cuba memintas kedudukan sepanjang lapan musim lepas.
Ini bukanlah musim terburuk Kedah kerana rekod paling hambar dicatatkan pada 2018 apabila skuad Sang Kenari sekadar bertapak di tangga keenam liga.
Paling hampir mencabar JDT adalah pada musim lalu apabila Kedah mendiami tangga kedua liga dengan dipisahkan 14 mata.
Akur dengan prestasi tidak menentu Kedah pada musim ini, lagi-lagi selepas gagal mempertahankan gelaran juara Piala FA, penyokong kini hanya tertumpu kepada saingan Piala AFC yang mungkin boleh mengubat luka.
Ibarat mencari penawar bagi mengubati hati yang berdarah, imbauan terhadap kisah-kisah gemilang Kedah pada masa lalu, mula memenuhi laman-laman Facebook penyokong skuad Hijau Kuning itu.
Antara yang menjadi imbasan kenangan paling manis adalah ketika Kedah menjulang kejuaraan double-treble di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah.
Kedah menjuarai gelaran liga, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.
Mana tidaknya, ketika itu Kedah dibarisi sejumlah pemain yang mantap seperti Nelson San Martin, Khyril Muhymeen, Baddrol Bakhtiar dan ramai lagi.
Paling mencuri tumpuan adalah penyerang berbisa mereka, Marlon Alex James yang sentiasa menjadi igauan buruk pertahanan lawan.
Ada yang meluahkan rasa gembira mereka ketika hadir ke stadium setiap perlawanan sehingga merasakan stadium akan roboh kerana terlalu ramai yang hadir.
"Puas masa ni sanggup datang awal stadium..Keja pun ponteng, takut tiada tempat duduk. Paling best team waktu ni power," kata Pak Un Alif.
Bagi Mohammad Fadzli Ramli, dia menyifatkan Marlon sebagai penyerang serba lengkap.
"Positioning selalu tepat. Fizikal yang besar dan kuat. Boleh menjaringkan gol dengan kedua-dua kaki. Kiri dan kanan tiada masalah. Sumbat gol dengan tandukan kepala juga baik. Memang legenda. Terbaik," tulisnya.
Malah ada yang membandingkan Marlon dengan penyerang Kedah kini, Ronald Ngah Wanja yang dilihat tidak mencapai standard seperti bekas penggempur Sang Kenari itu.
Namun bagi Khalil Hussain, perbandingan antara pemain dan liga pada hari ini tidak boleh dibuat kerana pelbagai faktor.
"Segalanya tak boleh nk buat perbandingan. Dari segi player, teknik atau taktical keseluruhan pasukan di Malaysia.
"Termasuk minda penyokong-penyokong masa itu, pendekatan FAM, situasi masa itu. Semuanya kena ambil kira.
"Begitu juga kalau kita buat perbandingan zaman Pele, Zico, Maradona, Beckenbauer, Messi, Ronaldo dan lain-lain.
"Masing-masing ada cara atau kemahiran tersendiri mengikut era atau situasi zaman masing-masing.
"Zaman Pele, team Korea tiada dalam senarai pasukan bola sepak dunia...Korea mula dikenali di peringkat dunia masa penghujung 80-an.
"Sekarang Brazil sendiri pun dapat saingan sengit daripada Korea. Brazil nk menang pun agak susah jugak...Jadi bagi saya kalau kita nak buat perbandingan pemain Kedah dulu dengan sekarang dari segi siapa lebih baik agak kurang adillah, bukan tak bagus, cuma mereka top time era masing-masing," katanya.
Sepanjang dua musim bersama Kedah, Marlon menjaringkan 48 gol dalam 48 perlawanan, purata 1 gol setiap perlawanan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram