Diam-diam rupanya fans TFC idam pemain selincah tonggak warisan Sabah


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Penampilan pertama pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov gagal menambat hati penyokong TFC kerana tidak seperti yang dijangkakan.— Facebook/TerengganuFC

BAHAGIAN tengah yang agak lemah merupakan antara perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukan Terengganu FC bagi mengelak keciciran mata dalam baki saingan Liga Super.

Hal itu kerana, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mempamerkan aksi yang kurang konsisten sepanjang musim ini sehingga menyebabkan ada dalam kalangan penyokong muak dengan prestasi pasukan kesayangan mereka itu.

Pada masa sama, pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu juga hanya mampu menduduki tangga keenam carta Liga Super dan hanya mencatat tujuh kemenangan selepas 17 perlawanan Liga Super.

Lebih mengecewakan lagi, dalam perlawanan Ahad lalu ketika menentang PDRM FC, skuad Sang Penyu dilihat gagal membentuk sentuhan cemerlang dalam misi meraih mata penuh.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, Terengganu FC hanya mampu seri 0-0 ketika berdepan skuad The Cops.

Malah, penampilan pertama pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov yang menjadi taruhan penyokong turut kurang berjaya menambat hati mereka kerana tidak seperti yang dijangkakan.

361283935_661381722695189_4344196208850411958_n

Stuart Wilkin cemerlang bersama skuad Sang Sang Badak. — Facebook/ SabahFC

Sehubungan itu, seorang penyokong Azra Muzammil Abdullah mengharapkan pasukan tersebut mempunyai seorang pemain tengah seperti tonggak utama skuad The Rhinos, Stuart Wilkin.

Ini kerana ketika aksi Sabah FC menentang pasukan Sri Pahang FC pada Sabtu lalu, jeneral tengah berusia 24 tahun itu menggalas tugas yang baik dan berjaya meledakkan gol ketiga buat pasukannya.

"Terengganu FC memerlukan pemain seperti Stuart Wilkin, 'sedap' tengok dia main semalam (Sabtu)," tulisnya.

Selain itu, dia turut berpendapat, Stuart merupakan pemain yang mempunyai pakej lengkap yang diperlukan dalam setiap pasukan.

"Pakej lengkap, regular first team Sabah. Skuad kebangsaan memerlukan pemain seperti ini," katanya.

Malah, Analisis Bola Tranung turut bersetuju dengan pendapat Azra memandangkan pemain Harimau Malaya itu bijak memikul tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

"Betul, Stuart ini pemain tengah jenis 'box-to-box midfielder', mempunyai kebolehan teknikal yang bagus. Rembatan dari luar kotak pun bagus, memang patut berada di skuad kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu sudah merekodkan 17 penampilan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dengan mencatat lima gol dan dua assist setakat ini.

Bagi Nurillo pula, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai pemain berasal Uzbekistan itu memandangkan ia merupakan debutnya dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram