[VIDEO] Akibat mulut, aksi perlawanan Liga M4 di Port Dickson jadi gelanggang gusti


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Tangkap layar memaparkan pemain kedua-dua pasukan saling bertengkar di Padang Merdeka.

AKSI Liga M4 antara Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) FC dan Mahsa City FC pada Sabtu petang bertukar hangat sehingga mengakibatkan campur tangan daripada penonton.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Merdeka, Port Dickson, Negeri Sembilan itu menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol.

Namun, apa yang difahamkan berlaku adalah apabila berlakunya perang mulut daripada pemain yang hanya menghangatkan lagi suasana pertembungan itu.

Situasi tersebut berlanjutan sehingga tercetusnya konflik sepertimana dapat disaksikan menerusi satu video yang kini tular di media sosial.

Berdasarkan klip pendek itu, dua pemain MPPD FC yang dilihat mengenakan jersi serba hitam giat mengejar seorang pemain lawan ketika perlawanan masih berlangsung.

Meskipun terdapat usaha untuk mengekang individu-individu tersebut, masih berlaku kekasaran sehingga memaksa kakitangan kejurulatihan kedua-dua pasukan masuk campur bagi meleraikan keadaan.

Ketegangan terbabit tidak terhenti di situ apabila kekecohan berterusan sehingga didapati seorang pemain Mahsa City FC terbaring sambil dikerumuni beberapa yang lain.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak, termasuk pihak pengurusan pasukan mengenai kesan ataupun punca pergaduhan terbabit.

Difahamkan, kedua-dua pasukan terikat seri dengan keputusan 0-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram