Tewas set pertama, tapi semangat juang bantu Perak Bison muncul juara STL 2023


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Perak Bison dinobatkan sebagai juara dengan perbezaan ketara dengan pencabar terdekat, Penang Black Panthers.

PERAK Bison menepati ramalan ramai apabila ditabalkan sebagai juara Liga Sepak Takraw Emas Annuar 2022/23 selepas menundukkan KPT-Masum Knights 2-1 pada Sabtu.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur (KL), kedua-dua pasukan bertemu untuk aksi ke-88 liga yang mana juga merupakan perlawanan terakhir buat mereka musim ini.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi Perak Bison apabila KPT-Masum Knights menang ketika set pertama dengan skor 21-19.

Tetapi, keputusan tersebut tidak memberi tekanan buat pendahulu liga yang turun dengan Jakkrit Thinbangbon sebagai tekong sementara Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi masing-masing bermain sebagai apit kanan dan kiri.

Perak Bison vs KPM MASUM Knights_53

Kepuasan terserlah di wajah pemain Perak Bison selepas set ketiga perlawanan.

Kebangkitan mereka dapat disaksikan apabila mereka mudah mengatasi pihak lawan pada set kedua dengan 21-16, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, perlawanan yang disaksikan ratusan penyokong kedua-dua pasukan bukanlah mudah buat Perak Bison dengan KPT-Masum Knights tidak berputus asa meskipun ketinggalan.

Namun, kualiti yang lebih berpihak kepada skuad di bawah duo pengurusan Jaffrey Zainol dan Syamsul Istar Ibrahim Istar membolehkan mereka muncul juara.

Keputusan berkenaan menyaksikan Perak Bison memiliki kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat, Penang Black Panthers yang mempunyai jurang besar dari segi perbezaan markah.

Kemenangan itu pastinya cukup bermakna buat penyokong memandangkan pasukan itu sebelum ini menduduki tangga kedua, tetapi berjaya menewaskan KL Thunder, sekali gus memintas mereka dalam carta liga.

Perak Bison selepas ini akan berentap dalam STL Challenge Cup yang bakal diadakan di venue sama pada Ahad dengan lawan mereka masih belum ditentukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram