[VIDEO] Pernah gundah-gulana main tanpa 3 tonggak, Perak Bison ada senjata lain 'warning' regu lain


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Antara aksi pemain regu Perak sewaktu menentang KL Thunders di Stadium Titiwangsa. — Facebook/SabahFC

BARISAN pemain Perak Bison tersenyum girang selepas dapat menamatkan minggu ketujuh saingan kempen Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 dengan menumpaskan dua regu ditakuti pada musim ini iaitu ATM Guardians dan Kuala Lumpur (KL) Thunders.

Pada perlawanan pertama menentang regu ATM Guardians, pasukan Yob membuka minggu ketujuh dengan menewaskan pasukan lawan 21-13, 21-16 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Bersambung pada perlawanan kedua minggu ketujuh, regu Perak Bison mencatat kemenangan 2-0 ke atas KL Thunders selepas kutipan mata 21-13, 21-15 dan kemenangan itu membantu mereka memungut 24 mata untuk menduduki tangga teratas.

Perak Bison kini hanya dibezakan set kemenangan dengan pasukan berpangkalan di Lembah Klang tersebut, dan kini kedua-dua pesaing terdekat itu memungut jumlah mata sama setakat minggu ketujuh.

Tampil berkongsi mengenai rangkuman perlawanan minggu ini, pengurus regu Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim Istar lega pasukannya mampu memperbaiki kedudukan namun masih enggan berasa selesa meskipun menghuni tempat pertama.

Syamsul Istar memesan kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu yakin pada perlawanan seterusnya menentang Sabah Mountaineers dan KPT-Masum Knights meskipun berada pada kedudukan teratas.

"Sebelum ini kami di tempat ketiga namun kini dua kemenangan menentang ATM dan KL membantu meletakkan Perak berada pada kedudukan yang baik. Cuma nak kata selesa memang jauh. Satu dua kesilapan boleh menjatuhkan kedudukan saingan sengit antara satu, dua dan tiga.

"Pada saya penambahbaikan yang boleh dilakukan dari segi pertahanan Perak dan juga jangan terlalu yakin walaupun pernah kalahkan dua pasukan teratas. Di hujung persaingan perlu berani keluarkan senjata yang kita ada," katanya kepada Majoriti.

Menarik pada dua minggu perlawanan baru-baru ini, Perak Bison merekodkan empat kemenangan berturut-turut walaupun beraksi tanpa tiga tonggak utama iaitu Meor Zulfikar Mat Amin, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman kerana mewakili skuad negara ke Kejohanan Dunia King's Cup di Thailand.

Barisan kejurulatihan memberi kepercayaan kepada gandingan Jakkrit Thinbangbon (tekong), Ashraaf Abd Hadi (pengumpan) dan Aziq Mat Tahir (perejam) untuk memberi mata berharga kepada Perak.

"Pada awalnya memang risau sebab beraksi tanpa tiga tonggak. Rasa gundah gulana tapi pemain yang diturunkan pada minggu keenam dan ketujuh ini sudah biasa bermain sebelum ini namun musim khidmat mereka kurang digunakan.

"Kita ada keyakinan tinggi dengan mereka sebab sebelum ni mereka memang pemain regular untuk STL cuma nak keluarkan gugup mereka untuk musim ni. Hasil ketekunan mereka membuahkan hasil.

"Saya tak berani nak cakap trio baharu itu akan dikekalkan kerana sekembalinya tiga pemain tersebut coaching staff akan tengok dulu prestasi semua pemain. Pemain yang akan diturunkan perlu melihat pada taktikal kejurulatihan dan kesesuaian lawan," tambahnya.

dalam

Trio Perak Bison bagi minggu keenam dan ketujuh saingan STL.

Melihat kepada peningkatan Perak pada musim ini, Syamsul Istar menyedari bahawa regu lain melihat pasukannya sebagai satu ancaman terutamanya selepas mereka mengumumkan barisan pemain di awal kempen STL.

"Pasukan lain pun dah label Perak satu pasukan yang bahaya lepas tengok line up sebelum kempen bermula. Apabila habis pusingan pertama pun memang Perak habiskan di pusingan kedua, jadi pasukan lain dah sedar bila jumpa Perak mereka perlu keluarkan permainan terbaik mereka.

"Bukanlah amaran tapi masing-masing tahu kekuatan kelab lain sebab minggu keenam dan ketujuh dah buktikan Perak ada pemain lain yang hebat walau beraksi tanpa tiga tonggak," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram