Navy Thailand kembali sertai latihan, Penang Black Panthers dalam misi mendekati Perak, KL Thunders


  • Podium
  • Khamis, 29 Jun 2023

Penang Black Panthers kini berada di tangga ketiga selepas menempuh sembilan perlawanan di pusingan pertama STL 2023. — Facebook/STL

PENYOKONG Penang Black Panthers akhirnya tidak perlu menunggu lam untuk melihat kembali bekas tonggak import kegemaran mereka kembali beraksi di pusingan kedua saingan Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2023.

Sebelum ini, ramai pengikut regu Utara tanah air itu teruja apabila pihak pengurusan berhasrat untuk mendapatkan semula khidmat import apit kanan dari Thailand, Aekkasit Naphom selepas pernah beraksi buat mereka pada 2022.

Impian itu menjadi kenyataan selepas ia disahkan sendiri oleh pengurus pasukan, Shaherman Shafie yang menarik nafas lega kerana pasukannya bakal diperkuatkan semula dengan kehadiran Aekkasit.

Menurut Shaherman, pemain yang bertugas sebagai tentera laut di negaranya itu sudah tiba di tanah air dan kini sedang menjalani sesi latIhan bersama Penang Black Panthers.

“Alhamdulillah.. Rundingan telah mencapai kata putus. Apit kanan, Navy Thailand sudah berada di sini dan telah menjalani latihan bersama pasukan.

“Keserasian pemain dalam perlawanan akan segera diamati dengan ketelitian penuh dari jurulatih,” katanya kepada Majoriti.

Selain kehadiran Aekkasit, pengurus Penang Black Panthers itu juga memaklumkan bahawa pasukannya akan kekal menggunakan pemain sama untuk pusingan kedua nanti.

kasit

Aekkasit pernah menjadi tonggak utama Harimau Kumbang untuk beberapa musim.

Tambahnya, regu Harimau Kumbang itu akan cuba menggunakan semua pemain sedia ada, selain membuat perancangan baharu bagi misi merapatkan jurang dengan pesaing terdekat iaitu Kuala Lumpur (KL) Thunders dan Perak Bison.

Sebanyak 12 mata yang dikutip menyaksikan pasukan Utara tanah air itu hanya dibezakan enam mata dengan pendahulu carta, Kuala Lumpur (KL) Thunders.

Jika kekal berada di tangga ketiga atau mengubah kedudukan mengatasi kedua-dua pasukan itu, Harimau Kumbang mampu melayakkan diri ke kejohanan seterusnya.

“Tiada rombakan pemain berlaku didalam pasukan. Kami masih mengekalkan pemain-pemain yang sedia ada. Selain Aekasit kami akan menggunakan semua pemain mengikut kesesuaian perlawanan dan perancangan penuh daripada bahagian kejurulatihan.

“Ini penting kerana setiap perlawanan amat penting dan kami memerlukan kemenangan bagi mendekatkan diri dengan pendahulu liga KL Thunders dan Perak Bison.

“Sasaran pada pusingan kedua adalah kekal berada dalam kelompok tiga terbaik bagi melayakkan diri ke Challenge cup dan seterusnya Champions Cup.

Dalam pada itu. mengulas lanjut aksi pertama pusingan kedua menentang KPT Masum Knights, Shaherman berkongsi, pasukannya akan menekankan bahagian pertahanan dan servis untuk mencuri peluang dapatkan mata.

Penang Black Panthers akan menentang KPT Masum Knights pada Jumaat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebagai aksi pembuka selepas dua minggu berehat. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram