‘In Manzoor Azwira we trust’


  • Podium
  • Khamis, 20 Jul 2023

Manzoor Azwira mengambil alih tugas Chong Yee Fatt sebagai Ketua Jurulatih Penang FC selepas dia mengalami masalah kesihatan. — Facebook/Penang FC

PENANG FC kini berada dalam prestasi yang tidak menentu selepas hanya menang satu dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.

Jurulatih The Panthers, Manzoor Azwira Wahid antara individu yang sanggup menggalas tugas ditinggalkan Chong Yee Fatt kerana terpaksa berehat panjang selepas mengalami masalah kesihatan.

Pernah menjadi antara jurulatih terbaik Penang sehingga mendapat pujian penyokong Harimau Kumbang, namun sentuhan ajaib Manzoor musim ini seakan-akan tidak lagi menjadi.

Segelintir penyokong Harimau Kumbang mendesak beberapa perubahan perlu dilakukan agar Penang tidak terus teperosok ke bawah liga.

Penang FC

Kesebelasan utama Penang ketika tewas di tangan Selangor pada 15 Julai lalu. Facebook/Penang FC

Namun begitu seorang penyokong setia Penang FC, Kenneth Chew dalam Facebook menyuarakan pendapat peribadinya serta menyenaraikan keperluan pihak pengurusan dan pemain ke-12 perlu mempercayai kudrat Manzoor.

Berikut merupakan antara poin penting yang dibangkitkan Kenneth supaya kekal menaruh keyakinan terhadap kredibiliti Manzoor sehingga penghujung musim:

1. Perubahan drastik

Terdapat sesetengah penyokong Penang FC mula resah dan mahukan perubahan tonggak jurulatih kita (Manzoor).

Saya faham sentimen tersebut, ia lumrah dalam bola sepak jikalau prestasi agak merudum, maka sasaran utama adalah ketua jurulatih pasukan tersebut.

Perubahan tidak jamin kejayaan, pertukaran secara mendesak boleh memberi kesan negatif.

Pasukan kita mempunyai pengalaman yang sama pada 2017 apabila Ashley Westwood digantikan Datuk Zainal Abidin.

Beliau tidak mampu menyelamatkan pasukan daripada turun liga, namun tidak boleh lupakan impak positif yang dibawa Coach Manzoor apabila Penang masih bertarung dalam Liga Perdana.

Tiada jaminan secara 100 peratus keputusan positif yang kita akan peroleh jika pengurusan buat perubahan dalam masa terdekat.

2. Pampasan

Perlu diingat banyak elemen mengikut cara dan strategi jurulatih baharu ini bukan seperti salin baju atau seluar.

Mampukah para pemain kita menukar corak permainan mereka mengikut sistem baharu dengan secepat mungkin?

Bagaimana dengan pampasan? Kita semua sedia maklum dana kita terhad, perlukah kita membazir dengan cara begini?

Bagaimana dengan pengganti? Ada individu yang sesuai? Mampukah kita bayar?

Nik Akif (kiri) dan Hadin Azman (kanan) antara tonggak utama Penang musim ini. Facebook/Penang FC

3. Top 10

Kini kita berada di kedudukan nombor 10 daripada 14 pasukan, dari mula lagi Coach Manzoor ramal kedudukan 10 terbaik dalam Liga Super.

Sebagai jurulatih yang sudah masak dalam hal ini, sudah tentu dia mahu jujur dengan diri sendiri, kelab serta penyokong Harimau Kumbang.

Kalau Penang dapat kedudukan yang lebih baik, Alhamdulillah.

Dengan ramalan yang jujur ini yakin tempat ke-10 dalam liga sudah tentu kita dapat gambarkan akan prestasi sebenar pasukan yang bersesuaian dengan kedudukan itu yang mencatatkan banyak keputusan kalah dan seri.

4. Beri peluang dan masa

Saya faham ketidakpuasan hati penyokong tentang corak permainan Penang dalam beberapa perlawanan akhir-akhir ini.

Saya akui sesetengah perlawanan, permainan Penang agak berterabur.

Namun kita tidak boleh terlalu fokus dan hanya tumpu kepada kelemahan, kita penyokong perlu terima dan harap Penang dapat perbaiki dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Proses ini bukan mudah, bagi saya, jangan hilang harapan. Saya tahu Coach Manzoor seorang yang berintegrit dan sentiasa akan cuba buat yang sehabis baik untuk Penang FC!

Mungkin ramai tidak setuju, namun saya percaya kita perlu bagi lebih masa untuk Coach Manzoor buat apa yang patut dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram