Giliran Wan Zack persoal keputusan pengadil, Zahrul Nizwan mohon maaf kepada Syukri Baharun


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Syukri (kiri) diterjah keras oleh pemain tengah Kuching City, Zahrul Nizwan sehingga menyaksikannya terpaksa diusung keluar. — Astro Arena

ISU pengadilan Liga Malaysia (Liga M) kembali hangat diperkatakan selepas pengadil, Mohd Faisal Ridzuan tidak melayangkan kad merah kepada pemain Kuching City FC, Zahrul Nizwan Joe Kifli selepas dia melakukan terjahan berbahaya.

Insiden itu berlaku semasa perlawanan Liga Super di antara Kuching City dan Perak FC yang mana menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah berjaya mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 2-1.

Pemain yang menjadi mangsa terjahan keras itu ialah Syukri Baharun yang mana dia melakukan debut musim ini kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Kekasaran terbabit jelas mengundang kecederaan kepada Syukri sehingga memaksa pihak perubatan mengusungnya pada minit-minit akhir permainan.

Namun timbul persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak negara terhadap keputusan pengadil perlawanan yang tidak melayangkan sebarang kad terhadap Zahrul.

WhatsApp Image 2023-07-17 at 2.08.49 PM

Tangkap layar Instagram Wan Zack Haikal.

Pemain Perak FC, Wan Zack Haikal turut memberikan pandangan peribadinya dalam Instagram berkenaan terjahan berbahaya yang dilakukan pemain.

Bekas pemain FC Ryukyu itu turut mengkritik tindakan pengadil perlawanan yang tidak melayangkan kad merah terhadap Zahrul.

"Tak tahu nak cakap apa, korang nilai sendiri. Marah lebih-lebih bagi kad acah-acah FIFA World Cup tapi mutu macam ini sahaja.

"Zahrul Nizwan masa awak akan tiba, jangan nampak sangat adik," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-07-17 at 9.34.05 PM

Tangkap layar Instagram Zahrul Nizwan.

Dalam pada itu, Zahrul sudahpun melakukan permohonan maaf dalam Instagram berhubung insidren terjahan yang dilakukannya itu.

Dalam hantaran itu, Zahrul memohon maaf kepada semua penyokong Perak dan menjelaskan dia sudah menghubungi Syukri meredakan keadaan.

"Saya akan menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran buat saya," tulisnya.

Perak kini menduduki tangga ke-11 Liga Super selepas mencatatkan tiga kemenangan, empat seri dan 10 kekalahan dengan mengutip 13 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram