DUNIA bola sepak tanah air pada Selasa dikejutkan dengan berita pemergian ketua jurulatih berpengaruh, B Sathianathan pada usia 65 tahun.
Berdasarkan laporan awal, pengendali kelahiran Perak itu meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser sejak kira-kira setahun yang lalu.
Namanya pasti sukar dilupakan ramai pihak memandangkan Sathianathan pernah membimbing beberapa kelab Liga Super, termasuk Selangor FC, Kelantan FA serta ATM FA.
Jumlah trofi yang pernah dijulangnya juga tidaklah mengecewakan memandangkan dia pernah menjulang Piala Malaysia 2010 bersama skuad The Red Warriors (TRW) serta menjuarai Liga Perdana 2018 bersama Felda United.
Tidak cukup dengan itu, mendiang juga pernah diberikan peluang membimbing skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2009 selepas sentuhannya bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara cukup memuaskan.
Meskipun tidak membawa perubahan ketara, nama Sathianathan masih dijulang peminat bola sepak tempatan dengan perubahan yang cuba diterapkannya.
Sarawak United masih berdiam diri mengenai masalah kewangan yang dialami mereka. — Facebook/Sarawak United FC
Namun, memasuki penghujung karier kejurulatihannya, jurulatih terbabit berdepan cabaran paling getir ketika mengendalikan Sarawak United.
Dia yang sebelum itu memegang jawatan Pengarah Teknikal kelab dilantik sebagai pengendali interim setelah E Elavarasan menamatkan kontraknya bersama pasukan Borneo terbabit.
Ia jelas menjadi satu ujian berat buat pengendali senior tersebut memandangkan skuad Ngap Sayot berada dalam kemelut kewangan dan pengurusan yang amat mencengkam.
Masalah berkenaan difahamkan dialami pemain serta hampir kesemua staf kejurulatihan dengan Sathianathan merupakan antara yang terkesan dengan teruk.
Bagaimanapun, tempohnya dengan skuad Ngap Sayot tidak berpanjangan apabila pada Julai tahun lalu, dia mengambil keputusan mengundur diri dengan alasan kesihatan.
Tetapi, keadaan tersebut tidak memberi kesan buat Sathianathan yang tidak henti-henti mendesak agar tunggakan gaji yang dialaminya diselesaikan pihak pengurusan.
Sathianathan merupakan ketua jurulatih skuad Ngap Sayot untuk beberapa bulan sahaja.
Selain memberikan kenyataan di media, dia juga berkali-kali menyatakan hasratnya untuk mengheret Sarawak United ke mahkamah demi mendapatkan pembelaan.
Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian dengan dia menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa dengan penyokong bola sepak tempatan tidak henti-henti menyampaikan salam takziah buat keluarga serta kenalannya.
Persoalannya, dengan perjuangan Sathianathan tidak dapat lagi diteruskan, adakah kelab Borneo itu akan menyelesaikan pembayaran gaji yang masih tertunggak?
Bagi pemerhati sukan tempatan, Zulakbal Abd Karim, pihak pengurusan Sarawak United perlu melakukan pembayaran dengan segera kepada keluarga mendiang.
"Sekiranya urusan tersebut masih tertangguh, bayaran itu sepatutnya disegerakan untuk diberikan kepada warisnya yang berhak.
"Saya fikir begitu adalah kerana ia adalah antara perkara yang selalu dititikberatkan mendiang, iaitu memperjuangkan hak jurulatih tempatan, lebih-lebih lagi dari segi gaji dan pampasan," katanya kepada Majoriti.
Sathianathan diundi sebagai Presiden JBPM pada 2018.
Selain bergelar pengendali pasukan, Sathianathan turut terkenal sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) selepas diundi untuk jawatan terbabit sejak 2018.
Antara perkara yang sering dibincangkan sepanjang menduduki tampuk pemerintahan itu adalah untuk memastikan pengendali tempatan menerima layanan yang adil.
Tidak cukup dengan itu, Zulakbal yang juga Naib Presiden JBPM memberitahu bahawa pelbagai perancangan lain pernah diusulkan mendiang sepanjang kariernya.
"Saya lihat ada satu cita-cita mendiang, iaitu untuk mewujudkan satu persatuan jurulatih bola sepak negara-negara Asia.
"Ketika beberapa mesyuarat akhir yang saya sertai, dia ada nyatakan bahawa dia ada berbincang dengan beberapa negara, antaranya Filipina dan Australia," jelas Zulakbal lagi.
Tambah pensyarah kanan dari Universiti Perguruan Sultan Idris itu, hasrat Sathianathan tersebut diharapkan dapat diteruskan mana-mana Presiden PJBM selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram