JARINGAN daripada Luciano Guaycochea dan Seo Seon-ung berjaya memastikan Perak FC mengutip tiga mata dalam aksi Liga Super menentang Kuching City FC dengan keputusan 2-1.
Meskipun skuad The Cats mengikat kedudukan menerusi jaringan Abu Kamara, semangat juang yang dipamerkan anak-anak buah Yusri Che Lah masih berjaya mencatatkan kemenangan ketiga mereka musim ini.
Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad The Bos Gaurus (TBG) dalam carta Liga Super memandangkan mereka kini masih berada di tangga ke-11 liga.
Namun, ia masih menjadi satu suntikan semangat buat kelab Utara tanah air itu memandangkan mereka kini hanya dibezakan enam mata dengan kelompok 10 pasukan teratas.
Tetapi, dalam pertembungan di Stadium Negeri, Sarawak pada Ahad, satu insiden mengejutkan berlaku melibatkan pemain Perak FC dan Kuching City FC, iaitu Syukri Baharun dan Zahrul Nizwan Joe Kifli.
Pada minit ke-90 permainan, kedua-dua mereka didapati sedang cuba untuk merebut bola dengan kemenangan ketika itu lebih memihak kepada pasukan pelawat.
Tangkap layar memaparkan permohonan maaf yang dibuat Zahrul Nizwan kepada Syukri.
Namun, Zahrul Nizwan didapati melakukan terjahan keras ke arah kaki Syukri sehingga menyebabkan mangsa dalam insiden tersebut terduduk sambil memegang pergelangan kakinya.
Pertembungan tersebut menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa diusung, sekali gus mencalarkan debutnya dalam Liga Super musim ini.
Inisden berkenaan jelas mengakibatkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air dengan tekanan lebih diberikan kepada peminat setia skuad TBG.
Lebih mengecewakan lagi, segelintir pihak turut bertindak 'menyerang' akaun Instagram milik Zahrul Nizwan sehingga memaksanya untuk nyahaktifkannya daripada tatapan umum.
Bagaimanapun, untuk menenangkan semula keadaan, bekas pemain Sarawak United itu memilih untuk meminta maaf kepada Syukri atas terjahan keras berkenaan.
Perkara terbabit dikongsikan Zahrul menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya yang kemudian sempat ditangkap layar penyokong bola sepak tempatan.
"Aku pun kenal kau lama sudah dari kita main bersama-sama dalam Piala Ketua Menteri di Tawau lagi. Memang aku serba salah, betul-betul tidak dapat tidur memikirkan kecederaan kau itu.
"Menyesal betul aku pergi masuk juga bola 50-50 tu sebab niat aku memang hendak dapatkan bola itu, tetapi terkena kaki kau pula," tulis Zahrul.
Mesej itu diterima baik oleh Syukri dengan dia juga tidak mahu insiden terbabit merumitkan lagi keadaan antara mana-mana pihak.
Ketika ini, Syukri difahamkan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dengan pergelangan kakinya sedang dibalut berdasarkan perkongsian video baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram