Selain Awang Sang Kenari, Harimau Kumbang pantau calon penyerang ganti Giovane Gomes


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Al-Hafiz dijangka tiba di sesi latihan Penang FC pada Khamis ini. — Facebook/KDAFC

PENYERANG sayap lincah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Al-Hafiz Harun difahamkan akan bersatu semula dengan bekas kelab yang menaikkan namanya, Penang FC dalam masa terdekat ini.

Khabar angin pemain berusia 29 tahun itu akan kembali menyertai Harimau Kumbang menjadi salah satu berita yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Penang berikutan Al-Hafiz antara tonggak utama membantu pasukan itu menghuni kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super 2021.

Berita Al-Hafiz yang mesra dengan sapaa Awang itu akan dipinjamkan ke Harimau Kumbang dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi pada laman Twitter miliknya pada Selasa.

Lebih menarik, selain daripada kehadiran pemain kelahiran Sik, Kedah itu, Penang FC juga difahamkan akan membawa masuk seorang lagi import bagi menggantikan penyerang Brazil, Giovane Gomes.

“Al-Hafiz Harum @ Awang dijangka sertai sesi latihan rasmi Penang FC pada Khamis. Selain Awang, Penang juga difahamkan sedang meneliti calon penyeang import bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Giovane Gomes,” ciapnya.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 19.09.32

Giovane menyertai Penang FC pada awal tahun ini. — Facebook/PenangFC

Kehilangan pemain berusia 28 tahun itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang dengan pemain berkenaan berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak pasukan dalam Liga Super.

Dalam 13 perlawanan Liga Super Giovane diturunkan musim ini, penyerang yang mahir menggunakan kaki kanannya itu sudah mencetak empat jaringan gol buat Penang FC.

Oleh itu, ramai penyokong Penang berharap agar kehadiran al-Hafiz akan membawa impak di bahagian serangan Harimau Kumbang seperti aksinya ketika musim 2019- 2021 bersama pasukan itu.

Manakala, bagi penyerang baharu rata-rata penyokong berhasrat agar pihak pengurusan membawa masuk import yang berkualiti untuk bergandingan dengan Soony Saad nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram