Import baru mula meletup selepas minggu kedua perpindahan


  • Podium
  • Selasa, 18 Jul 2023

Empat penyerang import baharu pada jendela perpindahan kedua ini menjadi tumpuan penyokong bola sepak tanah air.

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

GELAGAT Richmond Boakye-Yiadom mengangkat Faisal Abdul Halim selepas gol ketiga Selangor FC ketika berdepan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada Sabtu, menghuraikan banyak cerita gembira.

Tapi aksi minggu kedua selepas jendela perpindahan pemain kembali dibuka, lebih menjadi milik penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun, yang gol bergandanya di Stadium Darul Aman pada Jumaat menyerlahkan pelaburan ke atasnya sudah mula menghasilkan pulangan.

Penyerang import baru, Ramon Machado de Macedo, yang seperti Ifedayo sudah menyumbang tiga gol, terus menceriakan kem pasukan Sabah FC, yang mengirim pulang Sri Pahang FC dari Stadium Likas dengan keputusan 0-4 – kekalahan terbesar mereka musim ini.

Ditampilkan buat kali pertama pula, penyerang baru Perak FC, Luka Milunovic, dan pemain Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov, yang tiba dengan reputasi sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan, harus mendapati Liga Super Malaysia tidak semudah yang mereka jangkakan.

Keadaan itu tidak pun berbeza dengan Boakye, yang terkial-kial ketika tempoh 26 minit pengenalannya di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 9 Julai, yang menyaksikan barisan Gergasi Merah dikecewakan 0-1 untuk kekalahan keempatnya musim ini.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 15.59.27

Boakye mencetak gol sulung bersama Selangor pada aksi menentang Harimau Kumbang pada Sabtu. — Facebook/SelangorFC

Tapi minggu kedua menyerlahkan sisi berbeza bekas penyerang antarabangsa Ghana itu. Dengan memanfaatkan lorongan Yohandry Orozco pada minit ke-59, Boakye tidak pun gelabah untuk merembat masuk dari sudut sukar menerusi peluang pertama dimilikinya selepas dimasukkan selaku pemain gantian di permulaan separuh masa kedua.

Dengan ketinggian 1.86 meter Boakye dibandingkan Faisal 1.58 meter, kedua-duanya mungkin diumpamakan dengan kisah David dan Goliath tapi gandingan dan persefahaman baik di antara mereka hanya menjanjikan lebih banyak ledakan jaringan Selangor FC selepas ini.

“Jaringan ini saya dedikasikan buat penyokong dan rakan sepasukan. Ia sentiasa satu waktu yang menggembirakan buat seorang penyerang apabila dapat menjaringkan gol pertama,” katanya.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menambah: “Ia menyerlahkan karakter kuat yang dimiliki Boakye. Saya tidak langsung terkejut dengan kemampuannya menghasilkan gol itu.”

Kemenangan komprehensif 3-0 ke atas Penang FC itu mengembalikan Gergasi Merah ke landasan cemerlang selepas ditundukkan Sri Pahang FC seminggu sebelumnya di samping mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga selepas terancam pada suatu ketika.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 15.59.26

Ifedayo sudah mencetak tiga gol dalam dua penampilannya bersama KDA FC. — Facebook/KDAFC

Sambil Boakye sudah ‘pecah telur’, Ifedayo pula menyusuli satu golnya daripada sepakan penalti dalam perlawanan pengenalannya ketika menumpaskan PDRM FC 2-0 seminggu lalu, dengan dua jaringan lagi pada minit ke-55 dan 74 sewaktu mengatasi Kelantan United FC 3-1.

“Ifedayo telah membuktikan kemampuannya sebagai penyerang yang bijak untuk mencari peluang dan sentiasa berada di tempat dan masa yang tepat untuk menjaringkan gol,” kata ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain.

Dia turut memuji seorang lagi import barunya, Moses Atede, yang menghidupkan bahagian tengah untuk membuka peluang kepada pemain barisan depan menyudahkan jaringan.

“Moses bermain dengan baik di bahagian tengah, yang menghidupkan bahagian tengah dan serangan. Saya yakin mereka (Ifedayo dan Moses) akan semakin baik dalam perlawanan akan datang,” tambahnya.

Ramon Machado, penyerang kelahiran Brazil yang didatangkan dari kelab Gabala FC dalam Liga Azerbaijan, menyerlahkan nilainya sebagai pemain yang dari awal musim dinanti-nantikan Sabah FC untuk menamatkan kebuntuan gol daripada barisan depannya.

Berkesinambungan daripada dua golnya ketika tampil kali pertama dalam jersi serba hijau skuad Sang Badak ketika menang dramatik 4-3 ke atas Kuching City FC pada minggu ke-16 Liga Super (LS16), penyerang berusia 32 tahun itu menambah satu lagi ketika membelasah Sri Pahang FC.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 15.59.26-2

Ramon memberi persembahan luar biasa dalam dua penampilannya bersama The Rhinos. — Facebook/SabahFC

Bertukar-tukar hantaran dengan Darren Lok, penyerang kebangsaan yang tersisih dalam enam perlawanan gara-gara kecederaan, kedua-duanya mampu membentuk persefahaman jitu dengan pemain sayap, Saddil Ramdani, hingga jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, menyifatkan tuan rumah di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu sebagai luar biasa.

“Ternyata mereka yang lebih laparkan kemenangan. Mereka bermain penuh agresif, sentiasa menekan dan semangat mereka sangat tinggi,” kata Fandi, yang kecewa dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

Di pihak tuan rumah, ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, menyandarkan kemenangan besar mereka sebagai hadiah perpisahan buat kapten, Baddrol Bakhtiar, yang memilih untuk terjun ke lapangan politik.

“Sangat bagus untuk menyaksikan gandingan baik mereka (Ramon dan Lok). Malah, ia bertambah baik dengan kehadiran Saddil. Kami sangat berdisiplin dalam perlawanan ini,” tambahnya.

Sebaliknya, dengan Milunovic yang tiba dengan cakap berdegar-degarnya untuk menamatkan kebuntuan jaringan Perak FC tapi gagal dalam penampilan sulungnya, terserahlah kepada Seo Seo- nung yang baru kembali daripada rehat panjang untuk mencetak gol kemenangan.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 15.59.24

Milunovic diturunkan buat kali pertama pada aksi Perak menentang skuad The Cats. — Facebook/PerakFC

Ini termasuk satu tandukan penyerang kelahiran Serbia itu yang ditepis keluar penjaga gol Kuching FC, Shaiful Wazizi Mohammad, pada minit ke-64 dan disusuli lorongan Seo-nung yang disepaknya tinggi melangit ketika pintu gol sudah ternganga pada minit ke-81.

Namun, seperti Boakye yang bergelut dalam penampilan sulung sebelum menebusnya dengan jaringan dalam aksi kedua, Milunovic boleh dijangka akan meledak dalam perlawanan akan datang.

Tidak terkecuali juga Tukhtasinov yang dijangka lebih dominan sejurus memiliki keserasian dengan pasukan barunya.

“Dia masih ada masalah komunikasi dan tentunya dia akan lebih bagus untuk menunjukkan kemampuan sebenar selepas ini,” kata ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram