'YB Baddrol' calon tangkap muat PAS pada PRN Kedah?


  • Politik
  • Isnin, 17 Jul 2023

Ucapan terakhir Baddrol di hadapan ribuan penyokong Sabah pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

DESAS-DESUS mengenai hasrat pemain prolifik Sabah FC, Baddrol Bakhtiar untuk terbabit dalam arena politik khususnya di Kedah dikatakan bermula beberapa bulan lalu, apabila beliau dilaporkan menjalin hubungan baik dengan pemimpin politik utama di negeri Jelapang Padi itu.

Jika diteliti secara menyeluruh, Kedah adalah negeri pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan PAS memiliki 14 kerusi (Bersatu-6); Pakatan Harapan (PH) memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memiliki dua kerusi (Umno-2) dan Pejuang (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas, yang kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Adun Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia 14 Jun lalu.

Laporan media yang memetik sumber dengan mengatakan bahawa Baddrol ialah ahli PAS dijangka bertanding atas tiket parti itu pada PRN yang dijangka berlangsung pada 12 Ogos depan.

361259533_661382729361755_5770908548846381561_n

Baddrol pernah dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Sedekad Kedah antara 2011 hingga 2020. — Sabah FC

Jika mengambil kira kawasan yang dikaitkan dengan Baddrol ketika ini iaitu salah satunya DUN Gurun, tentunya dia dijangka berhadapan lawan daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Mohammed Firdaus adalah anak kepada Johari dan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, DUN Gurun dimenangi Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 10,732 undi, namun mengosongkan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Calon PAS, Muzaini Azizan tewas kepada Johari dengan hanya meraih 5,257 undi manakala calon Barisan Nasional (Datuk Boey Chin Gan) (6,523) dan calon Bebas (M Palaniappan) (167).

359437089_661221822711179_783066558771272711_n

Baddrol mengumumkan untuk meninggalkan Sabah FC. — Sabah FC

Jika Baddrol dipilih sebagai calon kerusi itu, tentunya agak sukar untuk menyaingi pengaruh Johari yang menang dengan majoriti 4,207 undi.

Meskipun demikian atas faktor penguasaan gelombang hijau yang dikatakan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, yang menyaksikan PN menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen Kedah, tidak mustahil PAS boleh memberikan saingan sengit kepada PKR.

Melainkan jika gelombang hijau yang bergelora itu sudah semakin surut setelah kira-kira sembilan bulan PRU berlalu dengan mengambil kira perubahan dalam pola pengundian rakyat.

Sebagai rekod, kerusi DUN Gurun sebelum ini disandang oleh Leong Yong Kong (calon BN) apabila memenangi PRU-13 yang memperoleh undi sebanyak 11,411 berbanding Salma Ismail (PKR) (10,115). Yong Kong memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,296 undi.

361290040_661220542711307_607728361034217823_n

Baddrol dijulang oleh sebahagian pemain dan pengurusan Sabah FC selepas aksi terakhirnya di Likas pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

Kerusi itu juga milik Yong Kong yang memenangi pada PRU-12 (2008) selepas menang ke atas calon PKR (B. Kalai Vanar) dengan majoriti 1,554 undi.

Meneliti salah satu kerusi lain yang dikaitkan dengan Baddrol iaitu DUN Pantai Merdeka dalam Parlimen Sungai Petani, ada kemungkinan ia satu-satunya kerusi yang memberi peluang cerah kepada bekas tonggak tengah KDA FC itu.

Kerusi tersebut disandang oleh PAS menerusi wakilnya Ahmad Fadzli Hashim yang menang dengan majoriti 4,566 undi, sekali gus menyaksikan ia dirampas daripada BN (Datuk Ali Yahaya).

Ada juga sumber yang mengatakan antara DUN yang dikaitkan dengan Baddrol adalah kawasan DUN Bakar Arang dan DUN Sidam.

"Tiga DUN berkenaan mungkin diisi oleh Baddrol berdasarkan kepada kawasan berkenaan yang majoritinya adalah pengundi Melayu dan kubu kuat bagi PN," kata sumber tersebut memetik laporan media.

Bagi dua lagi kerusi iaitu DUN Sidam dan DUN Bakar Arang, laluan sukar buat Baddrol kerana PKR tidak pernah kalah kedua-duanya sejak 2008, walaupun ketika parti itu berhadapan pelbagai pergolakan.

Kerusi itu disifatkan sebagai kerusi tradisi tak pernah kalah PKR melainkan jika berlaku hayunan undi Melayu sehingga 70 hingga 80 peratus pada PRN kali ini.

Berikut merupakan rekod penyandang tiga DUN dalam Parlimen Sungai Petani yang dikaitkan dengan Baddrol.

Baddrol-Bakhtiar-Pas-calon-PN

Baddrol meraih tiga anugerah termasuk anugerah utama, Pemain Paling Bernilai dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017.

DUN PANTAI MERDEKA (N27)

PRU-14 (2018)

Penyandang - Ahmad Fadzli Hashim (PAS) (14,133)

Datuk Ali Yahaya (BN) (9,567)

Rosli Yusof (PKR) (7,281)

Majoriti: 4,566 undi

PRU-13 (2013)

Ali Yahaya (BN) (15,393)

Abdullah Jusoh (PAS) (13,686)

Mohd Yusuf Lazim (Bebas) (316)

Majoriti: 1,707

PRU-12 (2008)

Abdullah Jusoh (PAS) (11,654)

Shuib Saedin (BN) (11,151)

Majoriti: 503

361394187_661384422694919_7938244563988229552_n

Baddrol melayan para peminatnya usai persembahan terakhir di Stadium Likas. — Sabah FC

DUN BAKAR ARANG (N28)

PRU-14 (2018)

Penyandang - Simon Ooi (PKR) (18,440)

Othman Che Mee (PAS) (7,607)

Ko Hung Weng (BN) (5,547)

Tan Kee Chye (PRM) (58)

Tan Hock Huat (Bebas) (29)

Majoriti: 10,833

PRU-13 (2013)

Simon Ooi (PKR) (17,757)

Dr Lee Yean Wang (BN) (11,223)

Ong Kah Soon (Bebas) (204)

Majoriti: 6,534 undi

PRU-12 (2008)

Tan Wei Shu (PKR) (10,489)

Dato Soon Kok Wah (BN) (9,159)

Lim Pok Long (Bebas) (287)

Majoriti: 1,330 undi

361219270_661381712695190_4941901653155838187_n

Ultras Sabah mendedikasikan ucapan terima kasih buat Baddrol. — Sabah FC

DUN SIDAM (N29)

PRU-14 (2018)

Penyandang - Dr Robert Ling (PKR) (17,344)

Nur Hidayah Foo (PAS) (6,484)

Tan Kok Seong (BN) (5,951)

Cik Gu Hashim (PRM) (80)

Majoriti: 10,860

PRU-13 (2013)

Penyandang - Dr Robert Ling (PKR) (13,189)

Bee Sieong Heng (BN) (7,225)

Zamil Ibrahim (Bebas) (347)

Ooi Beng Kooi (Bebas) (268)

Tan Hock Huat (Bebas) (197)

Vincent CV Uh (Kita) (42)

Majoriti: 5,964 undi

PRU-12 (2008)

Tan Chow Kang (PKR) (9,470)

Dato Fong Chok Gin (BN) (5,852)

Majoriti: 3,618 undi

Melihat kepada situasi kedudukan keempat-empat kerusi DUN yang berpotensi ditandingi Baddrol, ada kemungkinan bekas pemain skuad kebangsaan itu hadir menjadi calon tangkap muat PAS.

Ini kerana latar belakangnya yang berstatus calon baharu selain dilihat sebagai calon muda, kurang berpengetahuan dalam kancah politik selain tiada pengalaman sebagai wakil rakyat.

Dari sudut lain, Baddrol sebagai pemain berpengaruh dilihat sebagai ‘wakil rakyat’ dalam kalangan penyokong dengan mengambil kira popularitinya sebagai legenda bola sepak Kedah apatah lagi perancang tengah skuad Lang Merah itu pernah memenangi Anugerah Pemain Terbaik Sedekad Kedah antara 2011 hingga 2020.

Dengan pengaruhnya itu, pemain berusia 35 tahun tersebut disifatkan mampu memahami naluri penduduk setempat dan sedia berkhidmat sepenuh jiwa serta boleh bersaing dengan calon-calon parti gergasi dan berpengalaman pada PRN kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram