BARU-baru ini, penyokong Kelantan FC menerima berita mengejutkan tentang perpisahan antara bekas penyerang Harimau Muda B, Nurshamil Abd Ghani dengan kelab tersebut.
Sebelum ini, terdapat isu panas mengenai Nurshamil dengan bekas majikannya apabila pihak pengurusan Kelantan meminta dia untuk membayar penebusan kontrak sebanyak RM50,000.
Perkara tersebut berlaku selepas pemain kelahiran Melaka itu meminta untuk menamatkan kontrak lebih awal namun isu itu sudah berakhir selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama walaupun tonggak utama The Red Warriors (TRW) itu masih mempunyai 18 bulan baki kontrak.
Penyerang berusia 28 tahun ini merupakan tunjang utama pasukan Kelantan musim lepas apabila berjaya membawa pasukan layak ke Liga Super.
Untuk rekod, beliau mencatatkan satu jaringan dalam tujuh perlawanan saingan Liga Super musim 2023 ini.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan destinasi seterusnya penyerang berbisa itu.
Tangkap layar hantaran tersebut. — Twitter/ZulhelmiZainalAzam
Selepas kehilangan Nurshamil, TRW sekali lagi digemparkan dengan berita perpisahan apabila wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengatakan bahawa Kelantan FC bakal kehilangan penjaga gol utama, Nik Amin Ahmad.
"Selain Nurshamil Ghani, penjaga gol Nik Amin Ahmad difahamkan turut mencapai persetujuan bersama untuk tinggalkan Kelantan TRW dan memilih Melaka FC sebagai pasukan baru," katanya dalam hantaran tersebut.
Nik Amin yang merupakan penjaga gol utama TRW itu sering menjadi kesebelasan utama Kelantan turut mengambil keputusan untuk beraksi bersama Melaka FC dalam Liga M3 (Malaysia).
Sebelum ini, Kelantan pernah kehilangan penjaga gol pengalaman, Farhan Abu Bakar yang turut meninggalkan TRW berikutan masalah dalaman pasukan tersebut.
Kehilangan dua penjaga gol yang mempunyai pengalaman dalam kancah bola sepak dikhuatiri penyokong akan memberi kesan kepada prestasi pasukan Kelantan FC.
Kelantan FC dijadualkan berdepan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan ke-17 Liga Super 2023 pada Khamis di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram