
SELEPAS mengucapkan selamat tinggal kepada Kelantan FC pada Rabu, penyerang berjersi 19 The Red Warrior (TRW), Nurshamil Abd Ghani difahamkan sudah diikat pasukan berpangkalan di Borneo iaitu Kuching City FC.
Keputusan penjaring terbanyak Liga Perdana 2021 itu sekali gus menjawab khabar angin yang sebelum ini mengaitkan pemain berusia 28 tahun akan menyertai Liga M3, Harini FT sekali gus kekal beraksi di saingan Liga Super musim ini.
Perkembangan terbaharu pemain kelahiran Melaka itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya pada Jumaat.
"Harini FT terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Kelantan Nurshamil Ghani apabila penjaring tempatan terbanyak Liga Perdana 2021 itu difahamkan memilih Kuching City FC sebagai pasukan baharu," ciapnya.
Kemasukan Nurshamil dipercayai mampu menambah sengatan pada jentera serangan The Cats dan perkara tersebut bukanlah omong kosong apabila dia pernah merekodkan sembilan gol buat TRW pada musim 2021.
Nurshamil merekodkan tujuh penampilan sebagai pemain gantian bersama skuad Kijang musim ini. — Facebook/TRW
Terdahulu, pemain berusia 28 tahun itu memuat naik satu kenyataan dalam Instagram menyatakan pihak pengurusan Kelantan meminta dia untuk membayar penebusan kontrak sebanyak RM50,000 meskipun didakwa tidak membayar gaji.
Namun, kemelut kedua-dua pihak itu selesai selepas mereka mencapai persetujuan bersama dan pihak pengurusan Kelantan bertindak untuk melepaskannya walaupun masih mempunyai 18 bulan baki kontrak.
"Terima kasih kepada @trwkelantanfc melepaskan saya dengan persetujuan bersama. Saya doakan Kelantan FC lebih baik pada masa akan datang. Insya-ALLAH.
"Terima kasih juga beri saya peluang dan ruang selama saya bersama pasukan Kelantan FC dan mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan untuk diri sendiri serta pasukan," katanya pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram