LIMA musim lalu, Perak FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.
Meskipun mereka kemudiannya tergelincir ke divisyen kedua akibat masalah kewangan, pencapaian mengagumkan skuad Seladang pasti sukar dilupakan pengikut setia bola sepak tempatan.
Antara tonggak di sebalik kemegahan pasukan Utara tanah air itu ialah pemain pertahanan, Shahrul Saad yang boleh dianggap sebagai salah seorang figura paling penting buat kelab berkenaan.
Selepas memulakan kariernya bersama Harimau Muda, bek kental kelahiran Perak terbabit kemudiannya memilih untuk menyertai Felda United pada 2015 yang ketika itu berada di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
Namun, jodohnya dengan pasukan berkenaan tidak berpanjangan apabila dia hanya menghabiskan satu musim bersama kelab itu sebelum kembali ke negeri kelahirannya dengan menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG).
Shahrul (kiri) dan Thiago pernah bergandingan beberapa kali di atas padang.
Langkah terbabit boleh dianggap sebagai satu pemangkin buat kariernya meskipun Perak FA pada tahun tersebut bukanlah sebuah pasukan yang sering mencabar kejuaraan.
Tetapi, berkat kesabaran dan kesungguhan yang dipamerkan pihak pengurusan akhirnya membuahkan hasil apabila kelab Utara tanah air itu terus berkembang saban tahun.
Mengimbau semula kepada zaman berkenaan, Shahrul boleh diangkat sebagai antara tonggak paling penting di sebalik skuad terbabit dengan kelibatnya sering dinanti-nantikan penyokong Perak FA.
Bagaimanapun, hubungannya dengan skuad TBG bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pemain yang kini sudah berusia 30 tahun itu pernah meletakkan bekas bek tengah kelab sebagai idola di sebalik kariernya.
Dalam satu laporan akhbar sebelum ini, pemain bertubuh sasa tersebut meletakkan Thiago Junior dalam kalangan pertahanan terbaik pernah disaksikannya.
Thiago (kiri) cukup dikenali dengan ketangkasan serta semangatnya di atas padang.
Bek kelahiran Brazil itu pernah menyarung jersi skuad TBG selama dua musim dengan ketinggian serta kelebihannya dari segi fizikal cukup digeruni pihak lawan.
Malah, kebolehannya yang cukup mengagumkan setiap kali berada di atas padang cukup menarik perhatian orang ramai dengan Shahrul turut tidak terkecuali memberi pujian menggunung terhadapnya.
Tambah Shahrul lagi, Thiago juga mempunyai semangat untuk berjuang demi lencana di dada meskipun dia ketika itu sudah berusia melebihi 35 tahun.
Selepas menghabiskan dua musim dengan Perak, Thiago memilih untuk menyertai Felda United pada 2017 sebelum menamatkan kariernya dua tahun kemudian.
Bagi Shahrul pula, dia kini terpaksa berpuas hati apabila lebih kerap memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Takzim (JDT) meskipun pernah dianggap sebagai pemain pertahanan tengah terbaik dimiliki negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram