
WALAUPUN baru-baru ini Sabah FC berhasil melakar kemenangan 4-3 ke atas Kuching City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun kritikan terhadap pasukan berpangkalan di Borneo itu masih dibicarakan dalam kalangan penyokongnya.
Bukan hanya penyokong, malah pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee juga mengeluh melihat kelalaian anak buahnya yang seakan-akan selesa setelah mendahului tiga jaringan gol mengatasi skuad The Cops.
Di mata penyokong, barisan pertahanan Sabah FC yang dilihat longgar menjadi faktor bahagian serangan The Cats mudah untuk menembusi dan mencetak tiga jaringan pada separuh masa kedua perlawananan tersebut.
Tidak ingin dirobek lagi dari pasukan lain, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu difahamkan dalam proses perbincangan untuk membawa masuk pertahanan kebangsaan, Junior Eldstal ke Sabah FC bagi memperkukuhkan jentera pertahanan The Rhinos.
Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) yang dipinjamkan ke kelab Thailand PT Prachuap itu sebelum ini mendedahkan bahawa dia mendapat layanan tidak adil di pasukan negara jiran tersebut.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika pemain berusia 31 tahun tersebut dalam misi mencari kelab baharu memandangkan jika dia kembali ke Harimau Selatan, Junior dijangka banyak mamanaskan bangku simpanan kerana persaingan dari pemain berkualiti JDT.
Mengulas mengenai khabar angin pemain kacukan Malaysia-Sweden itu bakal menyarung jersi The Rhinos pada jendela perpindahan kedua ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir tampil memberi situasi sebenar.
Kebesalasan utama The Rhinos pada aksi menentang The Cats. — Facebook/SabahFC
Menurutnya, pihak pengurusan setakat ini tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membawa Junior ke Sabah berikutan masih mempercayai barisan pertahanan sedia untuk diturunkan dalam baki perlawanan Liga Malaysia dan saingan Piala AFC nanti.
"Setakat ini kami tiada berhubung dengan sesiapa-siapa (khabar angin Junior ke Sabah). Setakat ini DOKS (Datuk Ong Kim Swee) masih percaya dengan barisan pertahanan dan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
"Memang tiada perancangan lagi lagipun kita (Sabah) tiada bajet. Nak tambah pemain kena keluarkan duit lagi. Kita nak bayar banyak benda macam penginapan, semua perlu duit," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Ahmad Marzuki juga percaya bahawa tonggak pertahanan seperti Irfan Zakaria, Dominic Tan, Gabriel Peres dan Rawilson Batuil masih boleh menjadi taruhan bagi setiap kali perlawanan berlangsung.
"Kita (Sabah) banyak lagi pilihan pemain. Kita perlu baiki di latihan. DOKS sebagai ketua jurulatih pasti boleh baiki apa yang perlu di bahagian pertahanan," tambahanya.
Setakat ini, Sang Badak sudah membawa dua pemain import baharu iaitu Miguel Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo dalam jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 musim ini.
Selain dua pemain di bahagian serangan itu, Majoriti juga sebelum ini mendedahkan bahawa The Rhinos akan membawa masuk pemain tempatan baharu jika semua urusan berjalan dengan lancar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram