Naturalisasi atau tidak, Malaysia sentiasa jadi rumah saya — Ifedayo 


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Ifedayo mencetak jaringan pertamanya bersama Kedah pada minit ke-81 semasa menentang PDRM FC. — Facebook/KDAFC

SEBELUM menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan kedua Julai ini, penyerang import berbisa, Ifedayo Olusegun berstatus ejen bebas yang mana tidak terikat dengan kontrak daripada mana-mana kelab domestik mahupun luar negara.

Dalam tempoh pemain berusia 32 tahun itu berstatus tanpa kelab, Ifedayo yang pada awalnya dikatakan akan menyarung jersi Harimau Malaya sebagai tonggak naturalisasi itu terpaksa melupakannya kerana hanya empat tahun berkelana di Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya pada Februari lalu, Ifedayo terpaksa tidak menerima tawaran daripada mana-mana pasukan kerana sedang menghadapi situasi sukar selepas kehilangan ayahnya pada perayaan Krismas tahun lepas.

Namun selepas kemunculannya semula ke saingan domestik pada pertengahan musim ini, nama Ifedayo sekali lagi dikaitkan akan menyarung jersi Harimau Malaya dan kebanyakan penyokong menyimpan hasrat untuk melihat pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2020 serta 2021 itu meledak jaringan buat Malaysia.

Penyerang kelahiran Nigeria itu bagaimanapun enggan memikirkan lagi mengenai masa depannya bersama skuad Harimau Malaya dan fokusnya kini hanya untuk memberi persembahan terbaik buat majikan baharunya, Sang Kenari.

fedayo kedah main

Ifedayo meraikan jaringan pertamanya buat Kedah bersama rakan sepasukan. — Facebook/KDAFC

"Untuk saya sekarang hanya nak bermain sebagai pemain Kedah. Naturalisasi atau tidak, Malaysia sentiasa jadi rumah saya untuk enam ke tujuh tahun. Orang di sini (Malaysia) baik dengan saya. Makanan sedap dan makanan kegemaran saya nasi goreng kampung dan ayam goreng.

"Saya rasa nak bagi sesuatu untuk Malaysia. Tapi sekarang saya nak fokus Kedah. Memang bagus jaring gol untuk Malaysa, tapi saya tak rasa ia masanya," katanya kepada Majoriti selepas aksi Liga Super Kedah menang 2-0 ke atas PDRM FC.

Pada perlawanan Liga Super menentang The Cops di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad, Ifedayo mencetak jaringan pertamanya bersama Kedah pada minit ke-81 dan gol kedua disumbangkan Lee Tuck pada minit ke-89.

Bercerita mengenai perlawanan pertamanya menyarung jersi Hijau Kuning, Ifedayo akui gementar disebelungi perasaan tekanan beraksi di hadapan penyokong Kedah yang sanggup ke MBPJ untuk memberikan sokongan.

"Hari ini (Ahad) rasa main macam di home sebab banyak penyokong datang. Rasa sangat gementar untuk perlawanan pertama ini tapi saya harap perlawanan seterusnya akan tampil dengan cemerlang.

"Tekanan itu memang sebahagian permainan lagi-lagi seorang penyerang kena score. Tapi sebab ia sebahagian kerja jadi akan main dengan penuh tanggungjawab. Saya harap dengan sokongan penyokong, kami akan terus beraksi dengan penyokong," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram