SELEPAS mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya bangkit apabila mengutip tiga mata penuh ketika berdepan PDRM FC.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor, kedua-dua pasukan terikat sepanjang 80 minit permainan meskipun serangan bertali-arus dapat disaksikan.
Kekuatan dilihat lebih berpihak kepada pasukan pelawat apabila mereka menurunkan dua pemain baharu, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede untuk meningkatkan lagi peluang mereka untuk mencatatkan kemenangan.
Namun, nasib berpihak kepada skuad Sang Kenari apabila pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-80.
Perkara itu berikutan bola yang terbias di tangan pertahanan import PDRM FC, James Okwuosa ketika bola itu dilambungkan ke dalam kotak penalti.
Ifedayo menjaringkan gol pada minit ke-81 untuk meletakkan skuad Sang Kenari di hadapan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Ifedayo diberikan tugasan berat itu, namun pengalaman yang dimilikinya membolehkannya tenang menyempurnakan tendangan berkenaan untuk menewaskan Aqil Abdul Razak.
Kemaraan tersebut tidak terhenti di situ apabila KDA FC sekali lagi diberikan penalti apabila pemain tengah menyerang, Lee Tuck dikasari beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Giliran pemain berkenaan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan dengan dia turut yakin ketika berdepan penjaga gol lawan untuk meletakkan skuad Sang Kenari dengan kelebihan dua gol.
Kemenangan itu menyaksikan kelab Utara tanah air itu mengukuhkan kedudukannya di tangga keempat Liga Super sementara PDRM FC kekal di tangga kelapan hasil kutipan 22 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram