Abu Kamara ‘naik syeikh’ gara-gara jendela perpindahan


  • Podium
  • Ahad, 09 Jul 2023

Kamara menjaringkan dua gol ketika aksi antara skuad The Cats dan Sabah FC pada Sabtu. — Facebook/Kuching City FC

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

USAH keliru! Jendela perpindahan sebenarnya tidak hanya membawa rahmat kepada pemain baharu yang didatangkan, sebaliknya turut mempunyai hikmat kepada pemain daripada skuad asal yang dikekalkan.

Lihat saja kepada penyerang Kuching City FC (KCFC), Abu Kamara – pemain yang suatu ketika berisiko kehilangan tempatnya dalam pasukan -- tiba-tiba meletup dengan dua gol ketika bertandang ke gelanggang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Keyakinan, kesungguhan dan lebih-lebih lagi ketajamannya boleh memperdayakan ramai yang menonton dengan sangkaan dia antara import baru yang ditampilkan walhal dia adalah penyerang sama yang sebelumnya kerap mengecewakan di depan gol.

“Saya tak kata Kamara tak bagus, cuma sebelum ini dia banyak sia-siakan peluang. Jika dia dapat hantaran yang baik, ada sokongan rakan-rakan, memang dia seorang penyerang yang bagus.

“(Ketika menentang Sabah FC), kami bermain secara kompak, jadi dia mendapat lebih sokongan dan hantaran-hantaran baik. Dia juga menggunakan peluang-peluangnya dengan cukup tenang,” kongsi ketua jurulatih Kuching FC, Irfan Bakti Abu Salim, dengan Laptop Cabuk.

Jurulatih veteran itu bersetuju ‘tekanan’ daripada jendela perpindahan kedua dari 5 Julai hingga 1 Ogos, turut menyentak bekas penyerang kebangsaan Liberia berusia 26 tahun itu daripada lamunan panjang bagi membuktikan nilai sebenar dirinya.

357730741_783002613717839_2704142997732639171_n

Irfan Bakti gagal menyorokkan kekecewaannya selepas skuad The Cats dibolosi pada penghujung perlawanan. Facebook/Kuching City FC

Keputusan KCFC mendatangkan tiga import baru berminda menyerang -- Dechi Marcel N’Guessan dari Ivory Coast, pemain tengah menyerang, Bruno Dybal dari Brazil, dan penyerang naturalisasi Timor Leste kelahiran Brazil, Pedro Henrique – jelas menjadi ancaman buat Kamara mengekalkan tempatnya.

Namun, seakan-akan sudah rezekinya, Bruno tersisih pada Sabtu selepas tercedera ketika latihan dan masih meluangkan tempat buat Kamara, yang memanfaatkan kesempatan itu untuk menyerlahkan semula ketangkasan silamnya.

Kamara – persamaan namanya dengan penyerang kelab Liga Kejuaraan, Norwich City membawa tuah atau sebaliknya – mengutip satu hantaran pendek Diego Baggio, untuk memperdayakan empat pemain tuan rumah, termasuk penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, sebelum membenam jaringan pada minit ke-66.

Kemudian, berselang tidak sampai 20 minit, dia menempatkan dirinya di posisi terbaik di dalam petak penalti untuk menanduk masuk satu hantaran dari bahagian sayap kiri untuk KCFC mengikat kedudukan 3-3 buat seketika.

“Dia sekarang dah ada enam gol dalam Liga Super, kira baiklah. Ini adalah satu petanda baik buat kami,” ujar Irfan Bakti sebagai menghargai sumbangan penyerangnya itu.

Kamara – penjaring terbanyak Liga Perdana 2022 dengan 11 gol -- membuka akaun jaringannya musim ini dalam kemenangan 2-1 ke atas Kelantan FC dalam perlawanan sulung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 25 Februari lalu.

WhatsApp Image 2023-07-09 at 19.05.08

Abu Kamara mencuri nama selepas memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022. Facebook/MFL

Ini disusulinya dengan gol dalam kekalahan 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Negeri, Kuching pada 6 Mac.

Kekalahan 1-2 kepada Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown turut menyaksikannya mencatat nama dalam senarai penjaring dan kali terakhir mengulanginya sewaktu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC di ibu kota pada 24 Mei.

Gol bergandanya pada Sabtu harus membuat Irfan Bakti berfikir berkali-kali jika bercadang untuk merehatkannya ketika melayan kunjungan Perak FC ke Kuching pada 16 Julai mahupun perlawanan-perlawanan sesudah itu.

Ini ditambah lagi dengan kecederaan Dechi Marcel ketika berdepan Sabah FC pada Sabtu yang menyaksikan dia dibawa keluar dan digantikan oleh Alif Hassan pada minit ke-50.

“Kecederaan di lututnya nampak agak teruk. Jika dia memerlukan masa yang lama untuk pulih, kami mungkin mendapatkan pemain import lain untuk menggantikannya kerana jendela perpindahan masih dibuka,” kata jurulatih berusia 72 tahun itu.

Rasa ralat menyelubunginya kerana di sebalik bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 3-3 selewat minit ke-86, mereka tewas kepada gol saat-saat akhir Ramon de Machado untuk The Rhinos meraikan tiga mata berharga dalam ‘derby Borneo’ itu.

359424803_782999263718174_212533459027556038_n

Dechi Marcel (kanan) merupakan antara pemain baharu yang diturunkan Irfan Bakti. Facebook/Kuching City FC

“Sayang sekali sebab dah lebih empat bulan kami tak menang. Kalah pun kerana gol pada saat-saat akhir apabila pemain-pemain saya gagal mengeluarkan bola jauh dari kawasan bahaya,” katanya merujuk kepada satu-satunya kemenangan mereka ke atas Kelantan FC pada awal musim.

Gol kemenangan tuan rumah itu berpunca daripada percubaan Park Tae-su yang awalnya dapat ditampan penjaga gol, Shaiful Wazizi. Bola yang bergolek ke dalam permainan semula menyaksikan sifat tidak tamak Amri Yahyah yang melorongkan untuk disudahkan Ramon.

“Saya puas hati dengan prestasi pemain-pemain saya, terutama bermain baik dalam separuh masa kedua (apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 kepada jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-58).

“Tapi inilah bola sepak dan saya harap kami akan mampu terus bangkit selepas ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram