PERTEMBUNGAN epik dapat disaksikan penyokong bola sepak tanah air pada Jumaat apabila Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC terikat dengan keputusan 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Cheras, KL.
Selepas Omid Nazari membuka jaringan pada minit ke-28, skuad Warga Kota meneruskan asakan ke gawang gol lawan sehingga mereka dapat mendahului dengan kelebihan dua gol.
Jaringan daripada Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan Romel Morales memastikan pasukan tuan rumah berada di depan pada separuh masa pertama dengan skor 3-1.
Namun, sikap tidak berputus asa dipamerkan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner membuahkan hasil apabila skuad Sang Penyu meraih dua gol penting daripada Norhakim Hassan dan Ivan Mamut.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kekal di kedudukan masing-masing dalam carta Liga Super dengan Terengganu FC berada di tangga keenam sementara KL City FC berada satu posisi lebih rendah.
Jaringan Ivan Mamut pada minit ke-58 mengikat kedua-dua pasukan. — Facebook/Terengganu FC
Mengulas perlawanan berkenaan, Tomislav mengakui bahawa dia dan staf kejurulatihan yang lain cukup gembira apabila gol penyamaan dijaringkan pada minit ke-59.
"Selepas mendapatkan gol awal, kita bermain dengan baik. Tetapi, selepas itu, kita melakukan dua atau tiga kesilapan besar dengan kami tidak mengeluarkan bola daripada zon berbahaya.
"Seingat saya, mereka berjaya mendapatkan tiga situasi bola mati dan mereka menjaringkan gol dalam setiap peluang berkenaan," katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan.
Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu lagi, kejayaan untuk membawa pulang satu mata selepas ketinggalan dengan defisit dua gol tidak ubah seperti satu kemenangan bermakna.
Namun, dia masih kecewa dengan kegagalan anak-anak buahnya dalam mengambil kesempatan atas semua peluang terhidang sepanjang 90 minit permainan.
Sementara itu, bagi pengendali KL City FC, Bojan Hodak, mentaliti berbeza antara separuh masa pertama dan kedua daripada pemainnya menyebabkan mereka gagal untuk mencatatkan kemenangan.
"Terdapat banyak peluang dan saya tahu, separuh masa pertama kami bermain dengan cukup baik walaupun saya berasakan gol yang kami jaringkan boleh dianggap sebagai hanya nasib.
"Tetapi, pada separuh masa kedua, kami tidak mempamerkan aksi yang lebih baik selepas mendahului dengan skor 3-1 dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Selepas ini, Terengganu FC bakal bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor pada 16 Julai untuk berdepan PDRM FC sementara KL City FC bakal menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada 15 Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram