HASRAT Terengganu FC untuk 'membalas dendam' terhadap Kuala Lumpur (KL) City FC tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Cheras, KL pada Jumaat, jaringan pembukaan dihasilkan menerusi rembatan luar kotak daripada pemain import Sang Penyu, Omid Nazari pada minit ke-28.
Bagaimanapun, serangan bertali-arus daripada pasukan tuan rumah menyaksikan skuad Warga Kota mendahului pada separuh masa pertama dengan jaringan 3-1 berpunca daripada gol Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan Romel Morales.
Namun, kegembiraan penyokong KL City FC tidak berpanjangan apabila skuad kendalian Tomislav Steinbruckner tidak berputus asa untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Jaringan solo daripada rekrut baharu, Norhakim Hassan membantu kebangkitan kelab Pantai Timur itu yang mengumumkan kepulangannya pada Mei lalu.
Di samping membantu skuad Sang Penyu mengecilkan defisit, gol tersebut juga membuktikan langkah pihak pengurusan kelab untuk mendapatkan khidmatnya cukup berbaloi.
Ia dapat disaksikan sepanjang pemain sayap berkenaan berada di atas padang dengan dia bijak melakukan hantaran di samping menggunakan kelincahannya untuk mencari peluang jaringan.
Sumbangan tersebut menjadikan rata-rata penyokong Sang Penyu cukup berpuas hati dengan kehadiran pemain berusia 31 tahun itu meskipun ada di antara mereka yang sangsi dengan kebolehannya.
Perlawanan berkenaan kemudiannya terikat pada minit ke-58 apabila pemain tinggi lampai, Ivan Mamut memastikan satu mata mampu dibawa pulang Terengganu FC.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad Sang Penyu kekal di tangga keenam sementara KL City FC berada di kedudukan ketujuh selepas 16 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
