Bek kanan Gergasi Merah perlu diperbaiki, 3 sebab pemain termahal di Piala Asia sesuai isi posisi tersebut


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Aksi-aksi yang dipamerkan pemain JDT dan Selangor FC pada perlawanan separuh akhir Piala FA pada Isnin. — Facebook/Selangor FC

DESAS-DESUS pemain termahal di Piala Asia bawah 20 tahun (B20) 2023, Joshua Rawlins yang dikhabarkan akan menyarung jersi Selangor FC menjelah jendela perpindahan kedua nanti, semakin bertiup kencang.

Walaupun hanya khabar angin, namun perkhabaran tersebut diterima baik oleh segelintir penyokong skuad Gergasi Merah.

Hal ini kerana, penyokong menyifatkan sistem pertahanan Selangor ketika ini agak lemah dengan jurulatih perlu melakukan rombakan pemain serta menerapkan taktikal baharu.

Walaupun berada di tangga kedua carta Liga Super namun ia bukanlah satu alasan untuk mereka berada dalam keadaan selesa kerana skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih lagi berkongsi 31 mata dengan Sri Pahang FC yang berada di tempat ketiga.

2151973

Rawlins dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibunya. — Agensi

Malah, ada dalam kalangan penyokong yang berharap agar pemain kacukan Australia-Malaysia itu ditukar sebagai pengganti Quentin Cheng yang dirasakan mempamerkan aksi buruk ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada Isnin lalu.

Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab Joshua Rawlins sesuai bagi mengisi posisi tersebut.

1. Umur yang masih muda

Baru berumur 19 tahun, pemain yang dilahirkan di Australia itu mempunyai masa depan yang cerah dan masih boleh diasah lagi bakatnya dalam industri bola sepak.

Selain itu, sekiranya ubi muda tersebut menyarung jersi pasukan Selangor FC, ia bukan sahaja memberi kelebihan buat kelab malah kepada dirinya sendiri.

Hal itu kerana, ia akan memberi peluang kepada Joshua untuk bermain bersama skuad Harimau Malaya suatu hari nanti.

Selain itu, Joshua juga sesuai digandingkan dengan Sharul Nazeem atau lebih mesra disapa dengan panggilan Afro atas faktor umur dalam skuad Gergasi Merah.

2. Berpengalaman

Pemain muda itu ketika ini dikatakan sedang beraksi bersama skuad muda FC Utrecht Bawah 21 (B-21) di Liga Belanda.

Rawlins merupakan pemain 'regular' skuad Australia B-23. Selain Australia B-23, Rawlins turut pernah tersenarai dalam skuad Australia B-17 dan B-20.

Dengan pendedahan yang diperoleh itu, ia menjadikan Rawlin seorang pemain yang berpengalaman untuk berkhidmat dengan skuad Merah Kuning.

3. Faktor fizikal dan fleksibel

Selain boleh bermain dalam posisi pertahanan kanan, Joshua juga boleh menggalas tugas sebagai pemain bek tengah sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan yang ketika ini bergelut ekoran ketiadaan tonggak utama, Brendan Gan.

Dengan ketinggian 1.81 meter, ia turut memberi kelebihan kepada Joshua memandangkan dia bermain di posisi pertahanan.

Malah dia juga dikatakan seorang pemain yang sangat lincah di atas padang, sekali gus dilihat mampu mengucar-ngacirkan permainan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram