PERLAWANAN ke-16 Liga Super pastinya menjadi sesuatu yang menarik selepas pemain-pemain baharu dibenarkan beraksi apabila jendela perpindahan kedua sudahpun dibuka pada 5 Julai oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Selain pertemuan Kuala Lumpur City FC (KLC FC) bertemu Terengganu FC (TFC), perlawanan Perak FC dan Kelantan United FC (KUFC) turut menjadi tumpuan penyokong-penyokong bola sepak tempatan.
Kedua-dua pasukan dalam misi memburu tiga mata penuh selepas mendapat tonik tambahan dengan kehadiran ketua jurulatih serta pemain-pemain import baharu.
Perak FC yang gagal mengutip sebarang mata dalam lima perlawanan terdahulu melaungkan amaran untuk menawan semula hati penyokong dengan kemenangan.
Menerusi perkongsian Wartawan Astro Arena, Karl Nunis dalam Twitter, tonggak import Perak FC, Sunday Afolabi menganggap misi wajib menang The Bos Gaurus menentang Kelantan United di halaman sendiri demi penyokong Perak.
"Perlawanan esok (Jumaat) tiada alasan lagi, sebab kami pemain tahu penyokong tidak gembira.
"Jadi perlawanan esok kita tahu tiada alasan, kami perlu turun padang dan dapatkan tiga mata penuh.
"Ia penting supaya kami dapat keyakinan semula," katanya pada Astro Arena.

Sunday (kiri) ketika menentang PDRM FC. — Facebook/Perak FC
Ditanya mengenai gandingannya bersama Luciano Guaycochea, Afolabi berkata, mereka mempunyai persefahaman yang baik serta positif untuk bertemu Kelantan United.
"Jurulatih dah terangkan tentang taktikal dan kita boleh lihat ada peningkatan pada perlawanan terdahulu.
"Kami tidak tewas dalam perlawanan itu, tapi kita boleh nampak ada banyak perubahan dengan gandingan Luciano dengan saya, saya percaya kami mempunyai persefahaman yang baik.
"Dengan pemain baharu kami positif mereka akan membantu Perak FC untuk perlawanan menentang Kelantan United," jelasnya.
Menurut Afolabi, kehadiran Jesper Nyholm banyak membantu meningkatkan posisi pertahanan Perak FC dengan pengalaman yang dimilikinya.
"Saya boleh lihat Jesper ialah pemain berpengalaman dan nampak dia banyak memberikan impak positif di posisi pertahanan Perak FC.
"Dengan saya beraksi di tengah sebagai 'box to box midfielder' saya positif dapat membantu Jesper dan saya percaya dia juga akan membantu saya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
