Ubi muda Terengganu jadi sasaran skuad Jang, tapi fans harap Tomi tak kasi lepas


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Skuad Jang perlu membawa masuk beberapa pemain baharu untuk menambah baik kedudukan mereka. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SELEPAS menempuh 15 perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan FC masih belum menemui rentak mereka dalam Liga Super apabila kini berada di tangga kesembilan.

19 mata yang direkodkan setakat ini menyaksikan mereka perlu mencari solusi segera sekiranya mahu menamatkan saingan di kedudukan lebih baik.

Antara langkah penyelesaian terbaik yang boleh diambil adalah dengan membawa masuk beberapa wajah baharu sementara jendela perpindahan masih dibuka.

Melihat kepada situasi semasa skuad Jang, posisi yang perlu diberikan perhatian ialah pertahanan memandangkan mereka sudah dibolosi sebanyak 28 kali setakat ini.

Rekod berkenaan meletakkan Negeri Sembilan FC sebagai salah sebuah pasukan dengan catatan terburuk dalam aspek terbabit selepas separuh pertama musim Liga Super.

358148354_862241335270188_4555593691557889848_n

Ubaidullah berpeluang menunjukkan bakatnya sepanjang diletakkan dalam skuad simpanan Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Hal tersebut seperti turut dirasakan pihak pengurusan kelab apabila khabar angin mengatakan mereka sedang cuba untuk mendapatkan pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili.

Bek tengah itu ketika ini menjadi salah seorang tonggak buat skuad kendalian Hairuddin Omar dalam saingan Piala MFL dengan kebolehannya sering mencuri tumpuan.

Tambahan pula, namanya juga menjadi bahan bualan ketika mewakili pasukan kebangsaan dalam kempen Sukan SEA 2023 walaupun mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Jadi, tidak hairanlah apabila Ubaidullah mula menarik minat skuad Jang yang memerlukan seorang pemain pertahanan tengah bagi menyelesaikan isu kerapuhan benteng.

Bagaimanapun, perpindahan itu seolah-olah tidak direstui penyokong Terengganu FC yang tidak mahu kelab Pantai Timur itu kehilangan permata baharu pasukan.

352368012_254929403915168_893875338650101611_n

Skuad Sang Penyu memiliki lambakan pemain muda dalam pasukan mereka musim ini. Facebook/Terengganu FC

Hal tersebut diluahkan mereka dalam laman media sosial bagi menjawab khabar angin tersebut meskipun Ubaidullah jarang diberikan tempat dalam skuad senior Sang Penyu.

"Boleh cuba naikkan Ubaidullah ke pasukan utama Terengganu FC dan berikan masa permainan ketika bertemu pasukan lemah. Bagi pengalaman, baru cepat sikit naik kebolehannya," kata Hisyam Harun.

"Ubai ni seorang bek tengah yang tenang mengawal bola. Kalau dalam bola sepak moden, pemain seperti ini yang diperlukan, barulah boleh bermain dengan lebih baik," kata Mohd Herwafi Ali.

"Liga Bawah 23 Tahun (B-23) ada, buat apalah nak dipinjamkan. Dedahkan sahaja pemain di situ terlebih dahulu," kata Azlan Mira.

Setakat ini, Terengganu FC II sedang menduduki tangga teratas Kumpulan A Piala MFL selepas 11 perlawanan dengan Ubaidullah merupakan salah seorang tonggak pasukan.

Dia juga pernah diberikan peluang untuk berada dalam skuad utama, namun hanya diletakkan di bangku simpanan memandangkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner masih belum meletakkan kepercayaan penuh terhadapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram