[VIDEO] Bengang Mount dapat jersi no.7, fans MU lebih suka wonderkid sambung legasi CR


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Mount menyarung jersi merah nombor ikonik Man United buat kali pertamanya selepas kali terakhir ia disarung oleh Ronaldo. — Agensi

MANCHESTER United membuat kejutan apabila memberi jersi ikonik nombor tujuh yang sebelum ini disarung pemain seperti David Beckham, Eric Cantona dan Cristiano Ronaldo, kepada pemain baharu, Mason Mount.

The Red Devils mengumumkan pembelian Mount pada Rabu dengan menyaksikan pemain tengah Inggeris itu menyertai kelab dari Chelsea dengan harga £60 juta (RM354 juta).

Menerusi video pengumuman ketibaan Mount ke Old Trafford mengesahkan pemain itu menyarung jersi merah nombor ikonik Man United buat kali pertamanya selepas kali terakhir ia disarung oleh Ronaldo.

Penyokong Red Devils bagaimanapun tidak berpuas hati apabila jersi bernombor tujuh itu diberikan kepada Mount dan sebaliknya menginginkan pemain muda Alejandro Garnacho yang menyarungkannya.

"Dari Ronaldo ke Mount adalah penurunan taraf terbesar dalam sejarah bola sepak," kata penyokong Man United.

"Nombor Garnacho dirampas," kata seorang lagi penyokong Red Devils.

Garnacho yang merupakan produk akademi memberikan persembahan mengagumkan sejak penampilan sulung seniornya pada musim 2022 yang mana dia menjaringkan lima gol dan memberikan lima bantuan dalam 36 penampilan sebagai pemain sayap kiri.

Disebabkan debut cemerlangnya itu, ramai penyokong Man United berhasrat untuk melihat pemain Argentina itu untuk menyambung legasi nombor tujuh.

Untuk rekod, Mount yang sebelum ini memakai jersi nombor 19, merupakan produk akademi Chelsea dan membuat penampilan sulung seniornya pada 2019.

Pemain berusia 24 tahun itu mencatatkan 33 gol dan 37 hantaran bantuan dalam 195 perlawanan untuk The Blues, selain antara wajah utama kejayaan Chelsea memenangi Liga Juara-Juara UEFA. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram