SELEPAS beberapa minggu rundingan, Manchester United akhirnya mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk mengikat khidmat pemain tengah skuad antarabangsa England, Mason Mount.
Pengendali The Red Devils, Erik ten Hag menganggap bahawa Mount sebagai senjata baharu pasukan itu walaupun beberapa kali gagal mencapai kata sepakat dengan Chelsea berkenaan yuran perpindahan.
Pemain yang berusia 24 tahun itu dilihat mampu membantu bahagian tengah Manchester United kerana memiliki kelebihan sebagai pemain tengah yang kreatif dan mampu merapatkan jurang antara bahagian tengah dan serangan.
Namun begitu, Man United turut mengatakan bahawa akan melepaskan pemain tengah kelahiran Brazil, Frederico Rodrigues de Paula Santos atau lebih dikenali sebagai Fred selepas berjaya mendapatkan Mount.
Pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain menonjol dalam pasukan itu namun mungkin menjadi pemain pertama yang ditunjukkan pintu keluar dari Old Trafford sebelum musim baharu bermula.
Ini kerana sejak kehadiran rakan senegaranya, Casemiro ke Man United, Fred makin kerap diletakkan di bangku simpanan.
Peluangnya untuk menembusi kesebelasan utama juga dilihat sukar dengan gandingan baik Christian Eriksen dan Bruno Fernandes.
Selain itu, Man United dikhabarkan bakal menyambar seorang lagi pemain tengah, Sofyan Amrabat yang kini beraksi bersama kelab Itali, Firorentina. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram