KELANTAN FC terpaksa berputih mata apabila menyaksikan penyerang tinggi lampai The Red Warriors (TRW), Ismahil Akinade disahkan menyertai seteru setempat Kelantan United FC (KUFC) pada Isnin.
Pelbagai isu dalaman yang membelenggu pasukan tersebut termasuk isu gaji pastinya membuatkan pemain kelahiran Nigeria itu untuk mencari majikan baharu.
Kehilangan pemain itu ke kelab jiran mereka merupakan satu kerugian besar buat skuad TRW susulan Ismahil merupakan antara penyumbang terbesar dari segi jaringan gol pada musim ini.
Tonggak berusia 29 tahun itu tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan segera apabila Ismahil berjaya melakukan empat gol, tiga hantaran bantuan dalam 10 perlawanan bersama Kelantan.
Walaupun baru-baru ini Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan susulan kegagalan kelab itu melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan, namun pemilik TRW, Norizam Tukiman masih optimis mengenai isu itu.
Menurut Norizam ataupun mesra dengan panggilan Zamsaham itu menyatakan bahawa pihaknya akan menyelesaikan isu tersebut dan segera menguruskan kemasukan pemain baharu.
Oleh itu, sekiranya Kelantan dibenarkan semula untuk mendaftarkan pemain baharu, terdapat dua pemain import yang boleh dipertimbangkan untuk menggantikan posisi Ismahil.
1. Lucas Silva
Lucas masih belum berada dalam kecergasan terbaik selepas sembuh dari kecederaan. — Facebook/Sri Pahang FC
Selepas mencipta nama bersama Penang FC dengan enam gol dalam hanya 11 perlawanan, Lucas Silva memilih untuk berhijrah ke Sri Pahang FC.
Ia dilihat sebagai satu langkah yang cukup baik memandangkan skuad Tok Gajah memerlukan seorang penyerang bagi digandingkan dengan pemain kebangsaan Liberia, Kpah Sherman.
Namun, isu kecederaan dan kecergasan terus melanda penyerang kelahiran Brazil berkenaan sehingga menyebabkannya terus disisihkan daripada skuad.
Ekoran itu, ada khabar angin yang mengatakan Lucas akan dilepaskan lebih awal ekoran daripada prestasinya yang tidak memberangsangkan itu.
Melihat kepada usianya yang baru mencecah 33 tahun, pemain berasal daripada Brazil itu masih boleh beraksi di tahap terbaik untuk beberapa tahun lagi.
Berdasarkan pasukan liga tempatan pada ketika ini, Kelantan FC merupakan destinasi terbaik buat pemain itu memandangkan mereka baru sahaja kehilangan Ismahil.
Walaupun skuad TRW terpalit dengan isu kewangan, Lucas pastinya terbuka untuk mengurangkan permintaan gaji berikutan prestasi dan usianya yang semakin lanjut.
2. Sam Johnson
Aksi bekas penyerang Sabah FC, Sam Johnson ketika menentang UiTM dalam saingan Liga Super 2021.
Penyerang yang berasal dari Liberia, Sam Garyahzon Johnson pernah membantu pasukan itu dalam saingan Liga Super musim 2021.
Sepanjang bersama skuad Sang Badak, pemain berketinggian 1.80 meter itu mencetak dua gol dan dua hantaran bantuan dalam 10 penampilan pasukan itu.
Pada musim 2021, pemain berusia 30 tahun itu juga pernah beraksi bersama pemain legenda Selangor FC, Amri Yahyah dan Levy Madinda yang turut membantu pasukan Sang Badak ketika itu.
Melihat kepada rekodnya yang pernah beraksi bersama dua kelab gergasi itu, Johnson juga dilihat pilihan pemain yang sesuai untuk TRW.
Pada ketika ini, Johnson berstatus ejen bebas dan belum mengikat mana-mana kontrak bersama pasukan di dalam atau luar negara.
Sehubungan itu, sekiranya pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu inginkan pembaharuan dalam jentera serangan mereka, Johnson merupakan alternatif lain yang boleh dipertimbangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram