KDA, Sri Pahang mungkin terlepas sayap Kelantan, 3 nama sesuai ganti Fazrul Amir


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Fazrul Amir merekodkan dua gol dan satu hantaran bantuan untuk TRW dalam 13 perlawanan Liga Super dia diturunkan. — Instagram/FazrulAmir

NAMA tonggak Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman bukanlah seorang pemain yang mempunyai resume kukuh seperti penyerang sayap tanah air namun musim ini persembahannya menarik perhatian beberapa kelab gergasi Liga Super.

Antara yang dikhabarkan berebut mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC dengan pengendali, Fandi Ahmad sendiri mengaku meminati Fazrul Amir untuk dibawa masuk ke Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua ini.

Namun hasrat untuk kedua-dua pasukan tersebut memiliki pemain kelahian Kelantan berkenaan kian tipis selepas satu laporan mengatakan pihak The Red Warriors (TRW) masih memerlukan khidmat tonggak lincah tersebut.

Mana tidaknya, pemain muda itu antara yang memberikan sumbangan besar buat TRW dengan merekodkan dua gol dan satu hantaran bantuan dalam 13 perlawanan Liga Super dia diturunkan.

Daripada menunggu kehadiran Fazrul Amir, berikut Majoriti menyenaraikan tiga penyerang sayap yang boleh dijadikan sebagai alternatif menggantikan pemain Kelantan itu.

1) Muhammad Akhyar Rashid

WhatsApp Image 2023-06-30 at 19.30.10-2

Akhyar masih buntu mencetak gol bersama JDT pada musim ini. — Instagram/Akhyar

Sejak musim 2022, nama pemain sayap, Muhammad Akhyar Rashid tidak lekang daripada menjadi sasaran penyokong pasukan lain dan kebanyakan pasukan berharap agar bekas wonderkid tanah air itu boleh menguatkan jentera serangan mereka.

Salah satu faktor penyokong pasukan lain berharap agar pemain berusia 24 tahun itu menyarung jersi kelab mereka adalah sebagai peluang untuk Akhyar Rashid kembali mendapatkan minit permainan dan menyinar di kancah domestik.

Untuk musim 2023, pemain kelahiran Kedah itu hanya turun dalam tujuh perlawanan bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan hanya mengumpul 132 minit permainan sahaja.

Oleh itu, skuad Tok Gajah serta Sang Kenari boleh cuba untuk berbincang dengan pengurusan Harimau Selatan bagi mendapatkan Akhyar Rashid dan sekali gus membantu menaikkan semula karier pemain kebangsaan tersebut.

2) Hakimi Abdullah

WhatsApp Image 2023-06-30 at 19.30.10

Hakimi tampil dalam enam perlawanan Liga Super. — Instagram/Hakimi

Tonggak sayap kiri Terengganu FC, Hakimi Abdullah bukanlah seorang pemain yang cukup dikenali namun dalam kalangan skuad Penyu pasti mengenali corak permainannya.

Rata-rata penyokong Terengganu sebelum ini pernah memberi komen yang mana mereka mengatakan pemain itu masih memerlukan bimbingan dan minit permainan secukupnya bagi menjadikan dia lebih matang.

Berdasarkan statistik, pemain berusia 23 tahun itu hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super dan merekodkan satu jaringan serta satu hantaran bantuan musim ini.

Namun minit permainan bukan penghalang untuk KDA FC mahupun Tok Gajah merebut khidmat pemain muda itu berkemungkinan Hakimi juga akan lebih matang di bawah bimbingan Nafuzi Zain serta Fandi.

3) Kogileswaran Raj

kogi

Kogi hanya diturunkan ketika penampilan debut dalam aksi Piala FA Korea pada Mac lalu. — Instagram/Kogi

Baru-baru ini heboh Terengganu sedang mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang sayap Petaling Jaya (PJ) City FC, Kogileswaran Raj.

Namun selagi tiada pengumuman dari pasukan Pantai Timur tersebut, Sri Pahang dan Kedah masih berpeluang cerah untuk memujuk Kogileswaran ataupun pemain yang mesra dengan sapaan Kogi itu.

Pemain berusia 24 tahun itu difahamkan akan kembali ke Liga Malaysia selepas disisihkan sendiri oleh pasukannya, Chunbuk Cheongju FC berikutan masih bergelut untuk beraksi dalam tempo lebih tinggi.

Kali terakhir pemain kebangsaan itu beraksi di Liga Malaysia ketika bersama skuad The Phoenix yang mana pada musim 2022 Kogi diturunkan sebanyak 19 kali dalam aksi Liga Super dan merekodkan dua jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram