WALAUPUN belum ada pengumuman rasmi dari pihak pengurusan namun perpindahan dua awang import Terengganu FC (TFC) semakin menjadi buah mulut penyokong kelab berpangkalan di Pantai Timur tanah air tersebut.
Difahamkan menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai ini, TFC mengambil keputusan untuk melepaskan seorang import iaitu pemain tengah dari Croatia, Domagoj Pusic.
Sejak perkongsian itu dimuat naik pemerhati bola sepak, Piang Shankly di laman Twitter miliknya, beberapa nama pengganti turut timbul dan dikatakan akan mengisi kekosongan pemain berusia 31 tahun itu sekiranya meninggalkan Terengganu nanti.
Di jentera tengah, nama yang kian menjadi sebutan di media sosial dan difahamkan akan menggantikan Pusic ialah kapten Tajikistan, Ehsoni Panshanbe dan tonggak Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
Antara dua perancang tengah itu, nama Ehsoni yang dikatakan semakin menghampiri skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dan perkara itu mulai meyakinkan pengikut skuad Penyu apabila pemain berusia 24 tahun itu dilihat sering memuat naik semula hantaran dari penyokong Terengganu.
Tangkap layar daripada Ehsoni
Menerusi laman Instagram miliknya, Ehsoni memuat naik semula dua hantaran dari penyokong Terengganu yang mengalu-alukan kedatangannya ke bumi Darul Iman dan perkara itu dianggap isyarat dia bakal menyarung jersi TFC pada pusingan kedua Liga Malaysia.
Ehsoni yang kini beraksi bersama pasukan divisyen satu Tajikistan, Istiglol Dushanbe sudah merekodkan empat jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 17 perlawanan dia diturunkan.
Meskipun tidak pernah beraksi di pentas Asia Tenggara namun Ehsoni pasti tidak mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dan dia juga boleh merujuk hal berkaitan Liga M dengan rakan senegaranya, tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Amirbek Juraboev.
Manakala, calon lain iaitu Nurillo pula baru-baru ini dikaitkan akan Terengganu selepas ejen bola sepak yang berpangkalan di Tajikistan, Kova Talivpur membocorkan perpindahannya di laman YouTube.
Siapa pun bakal menjadi pengganti Pusic, kehadiran dua pemain itu semestinya boleh membawa pembaharuan kepada jentera tengah Terengganu yang kini banyak bergantung harap kepada Liridon Krasniqi dan Habib Haroon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram