SELEPAS dikecam warganet Indonesia susulan luahan kekecewaan terhadap penyokong negara jiran itu yang mempersoalkan gaya permainan Saddil Ramdani bersama skuad Garuda, giliran bekas jurulatih futsal Indonesia, Justinus Lhaksana pula mengkritik tonggak Sabah FC itu.
Saddil sebelum ini menjawab segala persoalan penyokong yang mempersoalkan perbezaannya ketika beraksi bersama The Rhinos dan pasukan kebangsaan Indonesia.
Bukan itu sahaja, Saddil juga sempat mendiamkan mulut penyokong negara jiran yang mempersoalkan keputusannya beraksi di Liga Malaysia dan menjelaskan bahawa dia juga memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri kancah domestik.
Justinus atau mesra dengan panggilan coach Justin meminta Saddil bertindak sebagai pemain profesional untuk menghormati keputusan jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong.
Menurutnya, pemain berusia 24 tahun perlu berusaha lebih gigih sekiranya mahu mendapatkan minit permainan lebih banyak berbanding pemain lain.
“Kamu boleh dapatkan jam terbang (peluang bermain) di saat latihan, sekiranya jurulatih melihat kamu tidak beraksi baik semasa latihan, kamu boleh merasa kamu Messi atau Ronaldo, tapi kalau jurulatih tidak berasa kamu bermain baik, kamu tidak akan terpilih dalam kesebelasan utama,” katanya.
Menurut Justin, bekas tonggak Sri Pahang itu sememangnya antara penyerang terbaik pasukan Indonesia namun kecewa dengan cara Saddil membalas kritikan netizen.
Jurulatih tersebut turut berkata bahawa Saddil harus bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pasukan Garuda di bawah kendalian Tae-yong.
“Kamu juga harus adil terhadap dirimu, kamu pernah diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama tetapi adakah kamu beraksi baik? Jawapannya tidak.
"Ramai orang nak masuk skuad kebangsaan tak boleh sebab menurut jurulatih tak sesuai atau tak menepati cita rasa, bukan main teruk. Jadi kalau jurulatih memberi peluang kepada anda bermain satu atau dua minit, anda perlu bersyukur, anda perlu boleh menerimanya,” katanya.
Oleh itu, daripada berkelakukan dengan menyerang warganet, Justin meminta Saddil untuk mengekalkan sikap pemain bola sepak profesional.
"Anda seorang pemain yang bagus, anda mempunyai bakat, tetapi saya, yang telah menonton bola sepak selama lebih 40 tahun, telah melihat ramai pemain yang musnah kerana sikap. Jangan gagal kerana ego anda terlalu tinggi, memalukan kerana anda adalah pemain yang hebat," katanya.
Dalam pada itu, Saddil juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong dan akan lebih berusaha keras memberi persembahan terbaik di Sabah FC kepada pasukan Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram