Kedah Eagles yakin mampu langkah ke Liga Premier STL musim depan


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Kedah Eagles hanya menamatkan saingan liga musim lalu di peringkat separuh akhir.

MEMASUKI minggu keempat Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23, pelbagai aksi menarik berjaya ditampilkan kesemua 10 pasukan yang mengambil bahagian.

Oleh itu, bagi merancakkan lagi suasana terhadap sukan tersebut, pihak penganjur mengumumkan sebuah lagi pertandingan akan membuka tirai untuk menghidangkan lebih banyak hiburan.

STL Division 1 yang disertai 10 pasukan merupakan divisyen kedua STL dengan kesemua pasukan dibahagikan kepada lima kumpulan sebelum mara ke peringkat kalah mati.

Aksi permulaan untuk divisyen tersebut akan menyaksikan pertemuan antara Kedah Eagles dan PSM Mavericks yang diadakan pada Isnin.

Tumpuan semestinya diberikan pada pasukan Utara tanah air tersebut dalam usaha mereka untuk kembali ke Liga Premier selepas gagal melakukannya musim lalu.

Bagaimanapun, bagi pengurus mereka, Mohd Nasher Ahmad, kebolehan dan kualiti skuad ketika ini memberikan peluang lebih cerah untuk mereka melangkah ke perlawanan akhir.

"Kalau ikut pada mutu ketika sesi latihan masing-masing, kami rasa Insya-ALLAH dengan adanya pemain lama dan baharu selain kita juga tampilkan pemain muda untuk bantu Kedah tahun ini," katanya kepada Majoriti.

Pengurus yang juga dikenali sebagai Cikgu Nasher tersebut cukup terkenal dalam skuad Kedah Eagles memandangkan dia sudah bertahun-tahun menabur khidmat.

Musim lalu, pasukan berkenaan layak ke pentas separuh akhir, namun kemaraan mereka untuk bersaing dalam Liga Premier ditamatkan Melaka Titans.

Jelas Nasher lagi, pemain apit kanan, Firdaus Mohamad boleh dilabel sebagai ayam tambatan pasukan memandangkan namanya cukup diingati berdasarkan persembahan pada 2022.

"Sekarang ni, (harapan) kita diletakkan kepada 'killer' kita, Firdaus. Dia berasal dari Perak dan ini merupakan musim ketiganya bersama Kedah. Tahun lepas, dia juga dapat anugerah pemain terbaik di posisi apit kanan," katanya.

Selepas bertemu PSM Mavericks, Kedah Eagles bakal berdepan Selangor Pistons pada hari sama dengan Nasher turut meletakkan pasukan itu sebagai salah satu cabaran besar buat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram