BEKAS pemain Sarawak FA dan Sabah FA, Bobby Gonzales difahamkan sedang ditahan di Hospital Queen II, Kota Kinabalu, Sabah akibat diserang sakit jantung.
Perkara tersebut dikongsikan sebuah portal sukan tempatan yang menceritakan bahawa pemain berusia 39 tahun itu ditahan pada Rabu.
Namun, berdasarkan hantaran di Instagram peribadinya, Bobby dilihat sedang berada dalam keadaan baik dengan dia sempat berswafoto dan tersenyum, namun menyarung pakaian hospital.
Hantaran berkenaan jelas mencuri perhatian ramai dengan beberapa bekas rakan sepasukannya sempat mengirimkan doa, termasuk pemain Kuching City FC, Joseph Kalang Tie.
Swafoto yang sempat dikongsikan Bobby ketika ditahan di hospital.
Bobby sememangnya cukup terkenal dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyarung jersi beberapa pasukan sejak memulakan kariernya dengan Sabah FA pada 2003.
Selepas itu, dia juga pernah menyertai kelab-kelab tanah air, seperti Sarawak FA, Felda United dan Penang FC sebelum menamatkan masa permainnya dengan skuad Sang Badak dua tahun lalu.
Malah, namanya juga tercatat dalam buku sejarah bola sepak negara apabila menjaringkan 90 gol sepanjang beraksi dalam Liga Perdana, yang mana merupakan rekod sepanjang zaman liga berkenaan.
Kini, dia difahamkan sedang terlibat sebagai staf kejurulatihan Sabah FC dengan kelibatnya cukup disegani, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong setia pasukan Borneo itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram