Tonggak Penang dijangka dilepaskan, rakan senegara Soony disebut-sebut jadi pengganti


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Skuad Harimau Kumbang perlu melakukan rombakan ketika jendela perpindahan kedua Liga Super. — Facebook/Penang FC

KEMARAU kemenangan yang dialami Penang FC menyebabkan mereka jatuh ke tangga ke-10 Liga Super selepas 15 perlawanan dengan hanya 16 mata dikumpul.

Kedudukan tersebut menyebabkan kelab Utara tanah air berkenaan sukar untuk menamatkan saingan di kelompok 10 pasukan terbaik memandangkan pasukan-pasukan lain sedang terus mengejar mereka.

Salah satu kelemahan ketara yang dialami mereka ialah kerapuhan benteng pertahanan apabila mereka kerap melepaskan gol pada minit-minit akhir permainan.

Baru-baru ini, skuad Harimau Kumbang sekali lagi tenggelam dalam bayang-bayang sendiri selepas anak-anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid mencicirkan dua mata ketika berdepan Negeri Sembilan FC.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada Isnin, jaringan lewat daripada Tommy Mawat Bada menyebabkan kedua-dua pasukan terikat pada masa penuh.

356409688_797042558603067_3020162635079171032_n

Kehadiran Min Tun (tengah) tidak memberikan perubahan besar buat benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Jadi, penyelesaian terbaik pastinya adalah dengan melakukan rombakan terhadap skuad menjelang jendela perpindahan kedua yang dibuka pada Julai.

Antara posisi yang semestinya menjadi tumpuan pihak pengurusan ialah barisan pertahanan bagi menghidupkan peluang lebih cerah untuk mereka mencatatkan lebih banyak kemenangan.

Berdasarkan komen yang dilihat dalam ruangan media sosial, terdapat kemungkinan bahawa langkah terbabit sudah diambil dengan khabar angin mengatakan bek tengah kebangsaan Myanmar, Zaw Min Tun.

Setakat 15 perlawanan Liga Super, pemain berusia 31 tahun itu hanya tidak beraksi dalam dua pertembungan, sekali gus membuktikan kepentingannya buat skuad Harimau Kumbang.

Namun, ia tidak menceritakan segala-galanya apabila prestasinya di atas padang gagal memberikan kelebihan buat Penang FC yang sudah dibolosi sebanyak 22 kali setakat ini.

Khabar angin itu ditiupkan penyokong skuad Harimau Kumbang menerusi laman Facebook Penang Supporters yang kerap mencipta ura-ura mengenai pasukan itu.

Perkara tersebut tidak terhenti di situ apabila seorang pengguna media sosial lain, Azwan Ahmad bertanya mengenai pengganti dalam barisan pertahanan pasukan.

"Hussein El Dor," jawab Penang Supporters ringkas sehingga membangkitkan rasa teruja dalam kalangan pengikut skuad Harimau Kumbang yang lain.

hussein-el-dor-perak-v-johor-darul-tazim-malaysia-super-league-6-jul-2019_1k4tj95khyo6dzhfx8kvz6ud0

Hussein (kiri) ketika mewakili skuad TBG pada 2019. Agensi

Pemain yang dikatakan itu sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Malaysia bersama Perak FA selama semusim dari 2019, namun gagal mengesahkan tempatnya dalam pasukan.

Hal tersebut menyaksikannya terpaksa meninggalkan skuad The Bos Gaurus sebelum memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PSM Makassar.

Namun, jodohnya bersama pasukan itu juga tidak berpanjangan apabila dia hanya bertahan selama sembilan bulan sebelum kembali ke tanah kelahirannya untuk menyertai pasukan dalam Liga Perdana Lubnan, Shabab Al-Sahel.

Kini, dia yang baru sahaja berusia 29 tahun sudah bersama kelab lain di negara Timur Tengah itu dengan harapan agar tempatnya dalam pasukan kebangsaan tidak tergugat.

Melihat kepada usia dan ketinggiannya yang mencecah 1.9 meter, kehadiran Hussein dilihat boleh meningkatkan keampuhan benteng pertahanan Penang FC.

Tidak cukup dengan itu, kehadirannya ke pasukan berkenaan akan membolehkannya mencipta hubungan cukup baik dengan rakan senegaranya, Soony Saad yang kini merupakan tonggak skuad Harimau Kumbang. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram